Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, tiada justifikasi untuk pihak polis membuat tangkapan ke atas penganjur utama himpunan BERSIH 5 semalam.
"Pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk menjelaskan asas penahanan individu terbabit dan membuat penjelasan kesalahan-kesalahan yang dituduh," kata ketuanya Tan Sri Razali Ismail dalam kenyataan.
Ujar beliau, Suhakam mengerahkan para pemerhati di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.
"Suhakam juga menekankan bahawa himpunan tidak menyalahi undang-undang dan mendapati para peserta bertindak dengan cara yang boleh diterima, tidak mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara," tambah Razali.
Beliau turut memuji pihak berkuasa khususnya polis kerana mempermudah dan menguruskan himpunan awam bagi memenuhi kehendak para penunjuk perasaan sambil menghormati hak balas penunjuk perasaan.
Jelas Razali lagi, pihaknya akan menyerahkan laporan pemerhatian terperinci kepada Parlimen.
Sementara itu, pemimpin Pakatan Harapan menggesa pembebasan segera semua aktivis BERSIH dan pemimpin pembangkang yang ditahan sama ada sebelum mahu pun selepas perhimpunan tersebut.
"Rakyat sudah bosan dengan kerajaan, seperti yang dibuktikan oleh ribuan penunjuk perasaan semalam," kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam kenyataan.
Ketua Anggota Parlimen DAP, Lim Kit Siang pula yang mengatakan tangkapan tersebut sebagai melanggar hak perlembagaan rakyat Malaysia untuk bersuara dan berhimpun selain menghalang wakil rakyat daripada menjalankan aktiviti yang sah.