Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai punca kehadiran rendah BERSIH5 hari ini.
"Kesan penyertaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan kroninya dalam BERSIH menyebabkan jumlah kehadiran menurun hampir 97 peratus.
"Orang Melayu melihat melalui agenda pentingkan dirinya sendiri dan enggan hadir.
"Dan ribuan rakyat Malaysia keturunan Cina yang menghadiri BERSIH tahun lalu meluat dengan pembabitkan Mahathir (sehinggakan) mereka duduk di rumah," katanya melalui pos terbaru di blognya.
Ia dikemas kini sejurus selepas BERSIH5 berakhir di Kuala Lumpur hari ini.
Salleh membandingkan anggaran polis mengenai kehadiran orang ramai hari ini seramai 15,500 dengan 500,000 orang yang diisytiharkan penganjur BERSIH4 pada tahun lalu.
"Kalau anda ambil angka disediakan Malaysiakini kehadiran orang ramai hari ini tidak lebih daripada 41,000 orang - kurang dari 10 peratus daripada dakwaan BERSIH tahun lalu," kata beliau.
Anggaran Malaysiakini hari ini merujuk kepada jumlah kehadiran orang ramai pada waktu puncak sepanjang lapan jam BERSIH5 berlangsung.
Jumlah 500,000 diumum BERSIH pada tahun lalu pula dibuat berdasarkan penyertaan orang ramai yang datang dan pergi sepanjang tempoh 36 jam himpunan itu berlangsung.
Malaysiakini menganggarkan jumlah peserta pada waktu puncak BERSIH4 ialah 100,000 orang.
Menurut Salleh kehadiran BERSIH5 hari ini adalah kegagalan serius Dr Mahathir dan parti barunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang didakwa sepatutnya mampu menarik sokongan lebih ramai orang Melayu.
"Syukurlah, demokrasi kini tertancam kuat di Malaysia. Ia tidak dapat ditakluki hawa nafsu seorang lelaki tua yang mengaku diktator ketika berkuasa dulu.
"Sebahagian besar rakyat Malaysia telah menolak hipokrasi BERSIH dan menolak Pribumi (BERSATU).
"Mereka boleh lihat ia adalah sebuah parti tercicir dan gagal, dicipta hanya oleh rasa terdesak Mahathir untuk menjadikan anaknya perdana menteri selepas Umno menolaknya," katanya.