Ketua kumpulan Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos menafikan bahawa beliau menyebut polis telah menumbuknya dalam pergelutan di pusat beli-belah, di Kuala Lumpur semalam.
Sebaliknya, kata Jamal, kata-katanya bermaksud meminta laluan untuk mengejar pihak yang telah menumbuknya dari arah belakang.
“Saya nak respon di media sosial semalam yang mengatakan bahawa polis pukul saya.
“Ketika itu berlaku pergelutan. Bukan saya sebut polis pukul saya, tetapi saya ingin beritahu kepada polis bahawa saya dipukul.
“Sebab itu saya minta laluan pada polis sebab saya nak kejar tumbuk curi dari belakang sampai saya berdarah, itu maksud saya…
“Tapi mungkin suasana kelam kabut itu saya seolah-olah berkata polis pukul saya tapi yang pukul saya adalah kumpulan daripada haram jadah ini,” katanya kepada pemberita di luar balai polis Pandan Indah.
Semalam hidung Jamal berdarah selepas ditumbuk dalam pergelutan di pusat beli-belah Ampang Point.
Ketika itu Jamal yang juga ketua Umno Sungai Besar sedang mengekori kumpulan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin yang mengedarkan risalah serta mempromosi perhimpunan BERSIH5, Sabtu ini.
Dalam pergelutan itu Jamal terjatuh dan sejurus kemudian hidungnya kelihatan berdarah.
Rakaman video (di bawah) menunjukkan Jamal menyalahkan anggota polis kerana didakwa menumbuknya.
Beliau kedengaran seperti berkata “polis tumbuk saya”.
Ditemui media selepas itu Jamal berkata seorang daripada "budak Zuraida" telah memukulnya.
Sementara itu, Jamal berkata beliau bersedia untuk berhadapan dengan saman sekiranya difailkan oleh Zuraida.
“Saya tak ada masalah kalau dia nak di saman kerana di Malaysia ini, kita amalkan undang-undang.
“Sesiapa nak saman saya silakan, kita akan berjumpa di mahkamah pada waktu akan datang,” katanya.
Semalam polis menahan dua penyokong Baju merah dan telah pun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini.
Mengulas lanjut mengenai reman itu Jamal berkata, pihak polis perlu berlaku adil terhadap kumpulannya.
“Sepatutnya yang tumbuk saya ditangkap, bukan kami ditangkap dan direman sampai Rabu. Jadi di manakah kewajaran. Saya tak pertikai kerja polis tapi kami mohon polis adil kepada semua.
“Bagi saya penahanan rakan kami bersifat tak adil kerana bukan kami mulakan. Apabila saya ditumbuk curi oleh pengikut mak lampir (Zuraida), bila saya berdarah sudah pasti pengikut saya menjadi marah dan ketika kami nak kejar.
“Kami disekat sebab itu dilihat dari Youtube seolah-olah kami bergaduh dengan polis tapi kami tak gaduh dengan polis. Tapi kami mohon pada polis untuk beri laluan supaya kejar mereka,” katanya.
Darah Jamal 'tumpah' di Ampang