Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kenal secara peribadi, Trump gelar Najib 'PM kegemaranku'

Datuk Seri Najib Razak berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru Donald Trump bukan asing buat dirinya memandangkan beliau secara peribadi mengenali ahli perniagaan tersebut.

"Saya sendiri mengenali beliau secara peribadi dan beliau bukan asing bagi saya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Persidangan Daya eUsahawan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita mengenai kemenangan Trump sebagai presiden AS yang baru.

Hubungan rapat mereka berdua turut dilaporkan oleh BBC, yang memetik jurucakap pejabat perdana menteri sebagai memberitahu wartawannya untuk Asia Tenggara Jonathan Head.

“PM Malaysia Najib ialah kawan golf Trump dan ada gambar bertandatangan mereka berdua atas mejanya daripada Donald yang bertulis 'kepada PM kegemaranku',” menurut tweet itu.

Selain itu, mengulas lanjut perdana menteri memberitahu bahawa kemenangan Trump membuktikan pengundi mahukan pemimpin yang baru dan bukan daripada ahli politik.

"Maknanya dia (Trump) konsisten dengan mesej untuk menjadikan Amerika sebuah negara yang kuat dari segi ekonomi dan juga peluang pekerjaan.

"Sebagai seorang usahawan berjaya, bilionair berjaya, mereka (pengundi) nak beri peluang kepada seorang ahli politik yang bukan konvensional.

“Bukan daripada mereka yang biasa ada pengalaman di Washington.

"Maknanya pengundi nak cuba sesuatu yang berlainan dalam konteks Amerika Syarikat," katanya lagi.

Tak boleh ambil mudah pengundi

Sementara itu dalam kenyataan medianya pula, Najib berkata kemenangan Trump dalam pilihan raya presiden AS menunjukkan para pengundi tidak boleh diambil mudah.

Dalam perutusan tahniah, Najib berkata, 'kemenangan luar biasa' Trump membuktikan amalan pengundian pendapat serta ulasan media adalah salah dengan menumpukan kepada mereka yang terpinggir.

"Kejayaan Trump menunjukkan ahli-ahli politik tidak boleh mengambil mudah pengundi. Undian pendapat dan tokoh-tokoh politik, semua memandang ringan di atas kekuatan sokongan beliau.

"Ikrar beliau kepada rakyat AS yang terpinggir - mereka yang ingin melihat kerajaan lebih menumpukan kepada kepentingan dan kebajikan mereka selain mengurangkan keterlibatan dalam campur tangan asing terbukti bertentangan dengan kepentingan AS - membawa Trump untuk menduduki Rumah Putih," katanya.

Mengulas mengenai kemenangan Trump, Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia berkata, pihaknya memantau keadaan pasaran dan memastikan kecairan kekal mencukupi untuk menyokong pasaran secara teratur.

"FMC sedang berkomunikasi dengan ahli-ahlinya dan memastikan semua keperluan perniagaan dan transaksi adalah dipenuhi oleh pasaran kewangan seperti yang dikehendaki," katanya dalam kenyataan.

Trump memenangi pilihan raya presiden AS sebentar tadi dengan memperolehi 276 undi menewaskan pencabarnya, Hilary Clinton dari parti Demokrat yang meraih 218 undi.

Memetik laporan AP, kerusi terakhir yang dimenang Trump adalah Winconsin yang memberinya 10 undi electoral.

Dengan kemenangan itu, Trump yang merupakan bekas ahli perniagaan bergelar jutawan dan personaliti program realiti televisyen itu muncul sebagai presiden AS ke-45 selepas Barack Obama selain presiden paling berusia yang pernah dimiliki oleh AS.

Kejayaan pada 70 tahun dengan kempen bertemakan 'Jadikan Amerika Hebat Sekali Lagi' juga membolehkan Trump menafikan hasrat Clinton untuk menjadi presiden wanita pertama AS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS