Pengacara popular Ruang Bicara Bernama TV, Datuk Dahlan Maamor mendakwa tidak dibenarkan menjadi hos program itu bagi membincangkan Program Permata Negara (PERMATA) yang diasaskan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Menulis di Facebook semalam, Dahlan yang digantung tugas minggu lalu memohon maaf kepada peminat Ruang Bicara kerana apa yang berlaku di luar jangkaan beliau.
Katanya beliau sepatutnya menjadi hos program itu pada malam Isnin lalu tetapi ditukar dengan individu lain kira-kira 20 minit menjelang siaran langsung.
Tindakan itu katanya dibuat selepas penerbit dihubungi "seseorang" yang memberi arahan dengan menggunakan nama Rosmah.
"Saya dijadualkan menjadi hos Ruang Bicara malam ini (Isnin) atas isu Program Permata Negara (PERMATA).
"Namun 'seseorang' telah menelefon penerbit dan menggunakan nama Datin Seri Rosmah (Mansor) memohon agar saya yang dianggap beliau sebagai pengacara reject diketepikan daripada menjadi hos.
"Saya waktu itu sudah siap sambil menunggu tetamu tetapi 20 minit menjelang live, saya diberitahu keputusan menyatakan program atas isu Permata dalam Ruang Bicara hanya dirakam untuk siaran pada tarikh lain.
"Dan saya tak dibenarkan menjadi pengacara untuk temubual ini," tulisnya di Facebook.
Beliau sementara itu mempersoalkan hak pemanggil itu untuk campurtangan dalam soal penerbitan di Bernama TV yang kini dikenali sebagai Bernama News Channel (BNC).
"Saya yakin, ia perlu dipantau perbuatan menggunakan nama ini kerana kesannya amat buruk," katanya yang akan menyampaikan perkara itu kepada pengetahuan pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor.
Dahlan sebelum ini mendakwa digantung kerja selepas menerima protes hebat daripada media Umno.
Tindakan itu dibuat seepas beliau menulis di Facebok mengenai pandangan peguam Adnan Seman yang memohon perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berfikir secara serius untuk berundur.
Agensi berita negara itu bagiamanapun menarik balik penggantungannya selepas seminggu Dahlan digantung tugas.
Menurut Dahlan beliau tidak pernah terfikir selepas bebas daripada digantung tugas, musibah melanda beliau terus berpanjangan hingga mengganggu tugasannya.
"Saya akan kemukakan permohonan untuk bercuti kepada penerbit sehinggalah hati ini damai dari kekalutan," katanya lagi.