Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya sudah lama membuka pintu perbincangan untuk mewujudkan pertembungan satu lawan satu antara pembangkang dan BN dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“PAS dah lama buka pintu (perbincangan), cuma bila masuk pintu jangan kacau dalam rumah.

“Jangan kacau dalam rumah kami,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Hadi berkata demikian ketika ditanya mengenai kesediaan PAS berbincang dengan DAP.

Ini susulan kenyataan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin bahawa parti itu bersetuju dengan konsep satu lawan satu seperti yang diharapkan rakan pembangkang lain untuk pilihan raya depan.

Hashim turut berkata, perkara itu mungkin memberi gambaran positif kepada pembangkang, namun ia terpulang kepada budi bicara rakan-rakan parti pembangkang.

Dalam sidang media berasingan, Ketua Pemuda PAS pula Nik Abduh pula menyambut baik kenyataan Hashim.

Bagaimanapun katanya perkara itu masih lagi dalam perbincangan.

“Itulah yang terbaik cuma bagaimana nak pastikan satu lawan satu dengan pembangkang itu masih dalam perbincangan.

“Kenyataan mursyidul am pada asasnya begitu, satu lawan satu adalah terbaik, semua dalam proses perbincangan,” katanya.

Mungkin 12 November

Sementara itu Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata perbincangan tersebut mungkin akan dibuat ketika majlis konvensyen mereka pada 12 November depan.

Katanya, jemputan telah pun dihantar kepada parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS.

Jelasnya, BERSATU telah pun memberi khabar positif akan hadir ke konvensyen tersebut manakala PAS masih belum menjawab jemputan itu.

“Bagi saya mudah kerana pendirian saya dari awal, ia mesti satu lawan satu, bentuk rundingan itu semua perlu berada dalam satu gabungan politik,bersatu pun akan buat keputusan, PAS pun boleh buat.

“Reaksi dan kenyataan mursyidul itu adalah berita yang baik kerana ada keterbukaan di sebelah PAS untuk berunding.

“BERSATU telah beri reaksi yang positif akan hadir konvensyen. Kita akan dapatkan maklum balas terkini dari PAS dan akan jemput sekali lagi PAS untuk akan bersama-sama dalam konvensyen,” katanya.

Terdahulu Ketua sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah berkata konvensyen mereka akan memberi petunjuk terhadap barisan kepimpinan pembangkang untuk PRU14.

Katanya, mungkin ada persetujuan antara parti-parti HARAPAN dan di luar gabungan itu – yang akan memberi petanda secara tidak langsung berkaitan bentuk kepimpinan yang akan ditawarkan kepada rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS