Penyertaan ahli keluarga Datuk Seri Najib Razak dalam lawatan ke Beijing bersesuaian dengan budaya amalan kebiasaan masyarakat China dan keinginan kerajaan negara itu menjalinkan keakraban melalui hubungan peribadi dan kekeluargaan.
Pembantu Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor berkata jarang untuk Najib membawa keluarganya menyertai lawatan rasmi ke sesebuah negara asing.
Untuk lawatan ke Beijing sekarang, kata Rizal, kerajaan China amat menghargai pertalian hubungan moden antara negara itu dan Malaysia sejak kerajaan pimpinan bapa Najib, Tun Abdul Razak Hussein.
"Malaysia merupakan negara pertama di kalangan Asean menjalin hubungan diplomatik dengan Beijing pada 1974," katanya dalam kenyataan hari ini.
Walaupun perdana menteri jarang membawa keluarga, tetapi kata Rizal, adalah normal untuk beliau mahukan anak-anaknya ada bersama ketika lawatan panjang selama seminggu.
Apatah lagi katanya jika lawatan itu dibuat selepas mendapat jemputan khas kerajaan asing untuk membawa keluarga.
"Budaya membina hubungan kekeluargaan ini dikuatkan lagi dengan peribahasa lama Cina yang menyebut apabila anda minum air, fikirkanlah punca air tersebut,” katanya.
Kenyataan itu dipercayai dibuat ekoran penyertaan anak Rosmah, Riza Aziz, dalam penerbangan pesawat kerajaan membawa Najib ke Beijing semalam.
Riza yang juga anak tiri Najib adalah individu disebut pihak berkuasa AS dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) negara itu ke atas 1MDB.
Riza juga adalah penerbit filem The Wolf of Wall Street lakonan Leonardo DiCaprio.
Peneyrtaan Riza dikesan melalui tweet berserta gambar Najib mengenai ketibaan beliau di Beijing. Bagaimanapun ia kemudian dipadamkan.
Rizal berkata terdapat banyak perjanjian perdagangan dan pelaburan yang akan ditandatangani kerajaan Malaysia dalam lawatan rasmi berkenaan.
Ia, katanya, bakal membawa pelaburan bernilai puluhan billion ringgit dan manfaat untuk Malaysia.
"Jadi mengapa perlu dibangkitkan soal kecil mengenai kedua anak mengikuti beliau dalam lawatan ini?
"Lagipun lawatan ke China bukan untuk menunggang kuda ataupun melawat ladang," katanya.