Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: Perjuangan saya dengan ‘beliau yang berumur 91 tahun ini’ berbeza
Diterbitkan:  Oct 28, 2016 5:17 PM
Dikemaskini: 9:20 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, selepas berulang kali dituduh oleh Tun Dr Mahathir Mohamad menyeleweng daripada perjuangan asal Umno, mengakui bahawa tumpuannya tidak lagi sama seperti masa lalu.

Walau bagaimanapun, Najib, yang merujuk bekas perdana menteri itu sebagai “beliau yang berumur 91 tahun ini” tanpa menyebut namanya, berkata tindakannya itu adalah untuk memajukan agama, bangsa dan negara.

“Memang benar perjuangan dulu dan sekarang berbeza.

“Dulu beliau yang berumur 91 tahun ini memperjuangkan kemerdekaan.

“Sekarang saya memperjuangkan kemajuan negara,” kata Najib dalam blognya hari ini.

Najib merujuk kepada pembinaan infrastruktur seperti MRT, BRT, LRT, Lebuhraya Pan Borneo, RAPID Pengerang, Kota Iskandar yang bertujuan untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat.

Beliau juga menyenaraikan beberapa program mesra rakyat dan kebajikan lain di bawah kepimpinan beliau, seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), e-Kasih, Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) dan Program Transformasi Bandar.

“Apakah usaha kami seperti ini untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat, bukan satu perjuangan?

“Apakah usaha memajukan sukan sehingga mencapai keputusan paling cemerlang dalam sejarah bukan satu perjuangan?” kata Najib yang jelas merujuk kepada prestasi atlet negara di sukan Olimpik dan Paralimpik di Rio yang baru selesai.

Najib berkata, sepanjang tempoh 40 tahun perkhidmatan dalam kerajaan, beliau mempunyai perjuangan tersendiri iaitu untuk memajukan agama, bangsa dan negara.

Sebaliknya, perdana menteri mempersoalkan tindakan seorang ‘pemimpin lama’ yang mula menghasut rakyat dan mengatur langkah dari dalam dan luar negara untuk menuduhnya dengan perkara-perkara yang sama beliau dituduh semasa berkuasa.

“Kita semua tahu parti politik baru pemimpin lama itu sedang berjuang untuk menjatuhkan kerajaan, sampai sanggup bersekongkol dengan parti cauvinis yang pemimpinnya sudah didakwa melakukan rasuah.

"Siapakah yang sebenarnya tersasar daripada perjuangan?” katanya, yang jelas merujuk kepada kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan DAP.

Najib berkata dakwaan bahawa dirinya terpesong daripada perjuangan dahulu adalah alasan untuk menarik orang ramai menyertai BERSATU dan memecahbelahkan orang Melayu.

“Biarlah apa mereka kata, saya dan Jemaah Menteri akan terus komited dalam perjuangan kami memartabatkan agama, bangsa dan negara,” katanya mengakhiri tulisannya di blog.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS