Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyiarkan dua pucuk surat didakwa ditulis Tun Musa Hitam bagi menafikan dakwaan bekas timbalan perdana menteri itu bahawa beliau meletak jawatan selepas dituduh cuba menyingkirkan perdana menteri.
Dakwaan Musa itu termuat dalam memoir beliau yang baru diterbitkan berjudul Frankly Speaking.
Menurut Dr Mahathir dalam blognya Musa meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan tindakannya menawarkan Tengku Razaleigh Hamzah jawatan menteri perdagangan dan perindustrian pada 1984.
"Untuk melihat bagaimana berterus terangnya cerita Musa tentang dirinya, sila baca kedua-dua suratnya. Salinan asal sukar dibaca, jadi saya menulis semula kandungan. Anda boleh membuat perbandingan," katanya.
Surat asal tidak disiarkan sepenuhnya di blog itu tetapi Dr Mahathir melampirkan salinan apa yang ditulis Musa.
Dr Mahathir juga berkata dengan menyiarkan surat berkenaan beliau tidak dapat mengekalkan keinginan Musa untuk merahsiakan surat berkenaan kerana memoir bekas timbalannya itu membayangkan tiada apa yang ingin disembunyikan.
Surat pertama bertarikh 5 Julai 1984 memaparkan perkataan top secret (rahsia besar) di atasnya, manakala surat kedua bertarikh 31 Julai 1984.
Pada surat pertama Musa menyenaraikan sebab-sebab mengapa beliau membantah tindakan Dr Mahathir memberikan meletakkan kementerian perdaganan dan perindustrian kepada Tengku Razaleih.
Tengku Razaleigh yang juga anggota parlimen Gua Musang berkhidmat sebagai menteri perdagangan dan perindustrian antara 1984 hingga 1987 manakala Musa adalah timbalan perdana menteri antara 18 Julai 1981 hingga 16 Mac 1986.
Pada 1987 Tengku Razaleigh mencabar Dr Mahathir dalam pemilihan Umno untuk merebut jawatan presiden parti berkenaan. Dr Mahathir memenangi pemilihan itu namun ia membawa kepada perpecahan serta pengharaman Umno.