Apa yang memalukan bukannya tindakan pembangkang yang keluar dewan semasa pembentangan Bajet 2017 di Parlimen, Jumaat lalu tetapi sikap membisu parti pemerintah ketika Malaysia dilabel sebagai negara kleptokrasi, kata Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang.
Menurutnya, bidasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin Umno pemimpin bahawa tindakan pembangkang adalah memalukan tidak dapat dibandingkan dengan kerosakan imej negara berhubung skandal 1MDB.
"Pemimpin Umno seperti Najib, (naib presiden) Hishammuddin Hussein (Ketua Pemuda) Khairy Jamaluddin perlu sedar bahawa tiada apa yang lebih memalukan, tidak senonoh dan tidak profesional daripada mengheret Malaysia kepada 'kleptokrasi global'.
"Saya terkejut bahawa perdana menteri dan menteri-menteri Umno serta BN benar-benar tidak tahu malu sedangkan seluruh dunia kini menganggap Malaysia sebagai negara 'kleptokrasi global', dan mereka boleh menerima cacian dan penghinaan ke atas negara itu dengan penuh ketenangan, " kata Lim dalam ucapannya pada sambutan Deepavali, anjuran DAP Gelang Patah, semalam.