Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas ketua polis KL, Henry Chin meninggal dunia
Diterbitkan:  Oct 23, 2016 8:02 PM
Dikemaskini: 12:09 PM

Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Tan Sri Henry Chin, 79, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat strok hari ini.

Menurut anak keduanya, Melissa Vhin Sui Yee, 31, mendiang bapanya dimasukkan ke PPUM petang Jumaat lepas untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 6.04 pagi.

"Ketika ini, kami sekeluarga sedang menguruskan proses untuk membawa pulang mayat mendiang ke Kota Kinabalu, Sabah untuk penerbangan pada pukul 1.55 petang esok," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Melissa berkata bapanya tidak pernah mengalami masalah kesihatan sebelum ini dan datang ke ibu negara beberapa hari lepas untuk menghadiri satu mesyuarat pada Jumaat lepas.

Mendiang yang meninggalkan isteri, Puan Sri Shirley Cheng Hua Chien, 72, serta sepasang anak lelaki dan perempuan telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama lebih 38 tahun sebelum bersara pada 1993.

Selepas bersara, beliau aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta pernah menjadi Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di Sabah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS