Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta mengesahkan sama ada kerajaan berhasrat mengekstradisi pembunuh Altantuya Shaariibu, Sirul Azhar Umar dari Australia.
Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh juga meminta Ahmad Zahid menjelaskan mengapa kerajaan belum membuat sebarang permohonan rasmi kepada Canberra untuk mengekstradisi Sirul Azhar.
"Kerajaan mengesahkan mereka tidak membuat sebarang permohonan mengekstradisi Sirul kepada kerajaan Australia dalam jawapan terkini mereka kepada saya di parlimen.
"Ia bercanggah dengan jaminan diberi kerajaan sebelum ini yang menyatakan mereka dalam proses berunding dengan kerajaan negara itu.
"Sudah pasti tidak mungkin merundingkan kepulangan Sirul jika permohonan untuk itu belum dibuat kepada Australia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas anggota polis yang pernah bertugas sebagai pengawal peribadi Datuk Seri Najib Razak itu kini berada di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney sejak 21 bulan lalu selepas dia melarikan diri dari negara ini sebelum hakim Mahkamah Persekutuan menyabitkan dia atas kesalahan membunuh Altantuya.
Turut disabitkan kesalahan jenayah pada antara 19 dan 20 Oktober 2006 ialah seorang lagi anggota polis Azilah Hadri.
Undang-undang Australia menghalang kerajaan mengekstradisi seseorang yang berdepan dengan hukuman mati di sesebuah negara lain.
Ramkarpal berkata jawatan tidak konsisten kerajaan kepada soalannya sejak 2015 menimbulkan kesangsian bahawa Putrajaya tidak berminat membawa Sirul Azhar pulang.
Katanya alasan diberi kerajaan yang mendakwa proses mengekstradiri itu rumit juga menunjukkan betapa tidak cepapnya Pejabat Peguam Negara.
"Sudah tentu kita tak perlu sehingga dua tahun untuk mencari jalan mengekstradisi seseorang," katanya.