Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, hari ini menyangkal laporan bahawa kerajaan akan memansuhkan subsidi untuk minyak masak bermula bulan depan seperti yang didakwa beberapa media.
Katanya, setakat ini, tiada sebarang keputusan untuk memansuhkan subsidi minyak masak dan harganya masih kekal seperti biasa.
"Subsidi dan harga minyak masak kekal seperti biasa, sebaliknya KPDNKK mahu pastikan subsidi yang diberikan kepada pengguna itu tidak disalah guna untuk tujuan eksport. Itu yang mahu dan sedang dikawal.
"Ketika ini, penggunaan minyak masak adalah sekitar 45,000 metrik tan sebulan, manakala kerajaan keluarkan subsidi hampir 85,000 metrik tan sebulan.
"Kerana itu, kerajaan mahu pastikan tiada ketirisan berlaku," katanya yang dipetik Berita Harian Online ketika ditemui di Parlimen.
Menurut Johari, apa yang dilakukan adalah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang berusaha memastikan subsidi minyak masak tidak disalah guna oleh pihak tertentu.
Semalam, akhbar Oriental Daily melaporkan harga beberapa kategori minyak masak akan naik bermula bulan depan berikutan pemansuhan subsidi minyak masak.