Pemimpin popular DAP Lim Kit Siang mengucapkan tahniah kepada veteran PAS Hashim Jasin kerana dilantik sebagai mursyidul am baru parti itu.
Lim bagaimanapun memberi peringatan pedas supaya Hashim tidak berkongsi “cerita karut” berkaitan sebab perpecahan kerjasama kedua-dua parti itu.
“Untuk makluman Hashim, DAP tidak pernah memutuskan komitmennya dan Pakatan Rakyat berpecah bukan kerana DAP mungkin sebarang perjanjian.
“Hashim patut belajar kenapa Pakatan Rakyat berpecah, bukan bercakap cerita karut,” katanya.
Hashim semalam dilapor menegaskan PAS tidak akan sama sekali bekerjasama dengan DAP dan
sanggup menghadapi pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Beliau menyifatkan hubungan PAS dengan DAP ibarat 'berpatah arang' kerana DAP mungkir janji dan enggan bekerjasama dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya kerjasama dengan DAP sebelum ini berdasarkan kerjasama politik bersyarat manakala kerjasama dengan Umno atas dasar perpaduan Islam demi keredaan Allah.
"Kita tidak mahu ulangi kesilapan dipatuk dua kali di tempat sama kerana menjalin semula kerjasama dengan DAP," Hashim dipetik sebagai berkata pada sidang media di Kangar semalam.
Dalam kenyataan balas hari ini, Lim berkata Hashim berhak mengeluarkan sebarang kenyataan politik tetapi bukan pada perkara yang tidak diketahui kebenarannya.
“Saya tidak faham apa yang Hashim kata,” katanya.
“Jelas Hashim tidak tahu apa yang dia kata apabila sebut DAP “mungkir janji” terhadap perjanjian kerjasama dengan Hadi, sedangkan Hadi yang mungkir pada muafakat bersama yang dipersetujui apabila membentuk Pakatan Rakyat.”