Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
IGP arah siasat segera 'parang terbang' Jamal
Diterbitkan:  Oct 9, 2016 9:15 PM
Dikemaskini: 2:51 PM

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tindakan akan diambil ke atas pemimpin kumpulan baju merah ekoran kenyataan disiarkannya di Facebook hari ini.

Menurut Ketua Polis Negara pihak berkuasa tidak boleh menerima sebarang kenyataan bersifat menghasut.

"PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan mengambil tindakan tegas dengan segera," katanya melalui Twitter malam ini.

Khalid mengulas kenyataan dibuat Datuk Seri Jamal Md Yunos berkaitan demonstrasi BERSIH 5 yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur pada 19 November ini.

Melalui kemas kini Jamal - yang turut dilampirkan Khalid dalam tweetnya - ketua Umno Sungai Besar itu membayangkan tragedi rusuhan 13 Mei dan "parang terbang" akan berulang jika BERSIH 5 dilangsungkan mengikut jadual asal.

"Saya berjanji Tragedi 13 MAY akan berulang dan PARANG TERBANG akan terjadi jika BERSIH 5 dibuat pada masa, tarikh dan tempat sama dengan perhimpunan #BERSIH5 yang dijadualkan pada 19 November ini.

"Hidup Melayu!" katanya.

 

 

Mengikut paparan rakaman layar itu Jamal membuat kenyataan berkenaan pada 21 September.

Pertubuhan pendesak reformasi pilihan raya BERSIH 2.0 dijadual mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur pada 19 November ini.

Tuntutan BERSIH kali ini ialah pelaksanaan pilihan raya yang bersih, mewujudkan kerajaan yang bebas daripada korupsi, mengukuhkan demokrasi berparlimen, memperjuangkan hak membantah dan memperkasa Sabah dan Sarawak.

Semalam perarakan BERSIH mempromosi perhimpunan bulan depan menjadi kecoh apabila berlaku serangan ke atas anggota konvoi.

Satu daripada insiden paling serius membabitkan serangan ke atas penyokong BERSIH di Sabak Bernam, Selangor.

Peristiwa 13 Mei merujuk kepada rusuhan kaum yang berlaku di beberapa tempat di negara ini - khususnya di Kuala Lumpur - selepas berlangsung pilihan raya umum 1969.

Istilah "parang terbang" pula merujuk kepada mitos popular di kalangan masyarakat Melayu yang mendakwa ada senjata yang bergerak sendiri mencari orang Cina ketika berlaku rusuhan berkenaan.

Bagaimanapun kira-kira sejam tadi Jamal - melalui kemas kini di Facebook - mendakwa akaun berkenaan adalam palsu.

Malah beliau mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng "mengupah" pengikutnya untuk memalsukan akaun Facebook berkenaan.

"Dajjal oh Dajjal. Ini mesti LGE DAP Ketua Menteri P Pinang yang mengupah budak-budaknya memalsukan akaun FB saya. Nampak sangat BERSIH DAH JADI DAJJAL....ini akaun FB saya yang sebenarnya," tulis Jamal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS