Bekas senator Datuk Mohammad Ezam Mohd Nor mendakwa Umno hari ini dicemari kelompok pemimpin yang teruja membangkitkan soal jawatan, habuan dan kebendaan untuk kepentingan peribadi.
Katanya, ini mendorongnya untuk meninggalkan parti itu kerana “nilai kepimpinan Umno sudah rosak”.
"Alhamdulillah respons amat positif (keputusan keluar Umno). Keadaan semasa dalam Umno memperkukuhkan keyakinan saya bahawa memang benarlah saya meninggalkan sebuah parti yang sudah rosak nilai kepimpinannya.
"Lihatlah reaksi awal mereka, di benak pemikiran mereka hanya soal ganjaran dan habuan peribadi. Isu pokoknya adalah OSA (Akta Rahsia Rasmi) dan rasuah, tapi mereka tidak bincangkan soal itu.
“Jadi, tidak hairanlah Presiden Umno paling lama dalam sejarah parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri tinggalkan Umno," katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.
Ezam berkata demikian sebagai mengulas keputusannya untuk meninggalkan Umno.
Bekas Ketua Pemuda PKR berkata beliau masih belum menentukan hala tuju politiknya tetapi membayangkan bahawa sebarang keputusan susulan bergantung kepada reaksi sahabat dan keluarga.
Beliau juga enggan mengulas mengenai sama ada terdapat kebenaran bahawa beberapa pemimpin PKR mahu membawanya menyertai semula parti itu.
Ezam berkata penggunaan OSA untuk menghalang akses orang ramai ke atas laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB menambah lagi kemarahan dan kecewanya kepada kerajaan.
"Saya memang menunggu laporan penuh PAC untuk perhalusi kes 1MDB. Ini kes besar, kita harus dan berhak tahu apa sebenarnya yang berlaku.
"Kedua, kedua kerana saya pernah didakwa, dibicara dan dipenjarakan di bawah OSA, sehingga hari ini saya satu-satunya rakyat yang pernah dibicara di bawah akta itu, tentunya saya merasa bertanggungjawab untuk pastikan OSA tidak lagi disalahgunakan untuk melindungi perasuah sepertimana dalam kes saya," katanya.
Sementara itu, Berita Harian memetik Ezam sebagai berkata masalah utama Umno adalah bahawa ia tidak lagi boleh bertolak ansur dengan kritikan membina.
Beliau berkata Umno telah menyimpang dari isu sebenar di tangan kerana ini adalah masalah dengan Umno hari ini.