Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Projek durian kunyit serangan 'berduri' baru Husam

Berapa luas hutan simpan di Kelantan diteroka untuk projek penanaman durian kunyit di negeri itu?

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata cuma 100 hektar terlibat.

Bagaimanapun bekas exco ekonomi Kelantan yang kini menjadi pembangkang negeri Datuk Husam Musa mendakwa jumlah sebenar 10 kali ganda lebih besar.

Diminta mengulas perkara itu Wan Roslan dalam kenyataannya kepada Malaysiakini tetap mempertahankan penjelasan beliau sebelum ini, walaupun dipertikai oleh Husam.

Katanya, penjelasan beliau pada 26 September lalu tepat dan berdasarkan sumber rasmi jabatan kerajaan.

"Justeru, saya kekal berpegang kepada fakta yang telah dikemukakan sebagaimana kenyataan media tersebut," katanya tanpa mengulas lanjut hujah panjang lebar Husam.

Wan Roslan Isnin lalu dilapor berkata Husam, bekas naib presiden PAS yang menyertai serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH) menyimpang dan berniat jahat.

Wan Roslan berkata kerajaan negeri hanya meluluskan 100 hektar sahaja bagi tujuan tersebut dengan syarat-syarat yang sangat ketat oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

Tidak puas hati dengan penjelasan itu, Husam terus mempertikaikan itu isu, antaranya mempersoalkan langkah tidak menamakan syarikat yang menanam durian kunyit di Hutan Simpan Sg Brok.

Husam mendedahkan projek itu diperoleh oleh seorang individu bernama Ali Omar dan mendakwa semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati ia baru sahaja ditubuhkan.

Bagaimanapun, dakwa Husam, projek diperoleh Ali, jauh lebih besar melalui 44 lagi syarikat lain yang mendapat 18 kelulusan daripada kerajaan negeri, termasuk projek tanaman durian kunyit di tempat lain – hutan simpan kekal Ulu Galas dan Batu Papan.

Husam juga mempertikaikan penanaman durian kunyit di hutan simpan kekal memandangkan pokok berkenaan tidak disenaraikan sebagai spesis untuk tanaman ladang hutan.

"Memang benar durian disenaraikan sebagai spesis hutan dalam Enakmen Perhutanan. Namun seingat saya, durian tidak disenaraikan sebagai spesis untuk tanaman ladang hutan walaupun ia adalah spesis hutan.

"Ini adalah dua perkara yang berbeza," kata Husam.

Husam turut menjelaskan durian kunyit adalah spesis klon yang mempunyai batang kecil dan penanamannya bertujuan mendapatkan buah dan bukan batangnya sebagai kayu.

"Sedangkan jika ladang hutan adalah tujuan keutamaannya adalah untuk penghasilan kayu dan bukan buahnya,” kata anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu.

Ali: Bukan 18, tapi 9 kelulusan saja

Sementara itu, menjawab dakwaan Husam, Ali dalam tulisan di Facebooknya pula memberitahu, dakwaan syarikatnya mendapat 18 kelulusan projek adalah tidak benar, bohong dan berniat jahat.

Menurut Ali, 29, beliau yang telah terlibat dalam bidang pembalakan selama 12 tahun hanya pernah mendapat sembilan kelulusan sahaja termasuk semasa zaman bekas menteri besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ali turut menjelaskan 44 buah syarikatnya menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang dan bukan semuanya berkaitan pembalakan.

"Apa yang saya boleh katakan, ini adalah jalan saya dalam mencari rezeki.

"Manakala enam syarikat daripada sembilan yang diluluskan itu, ia berlaku pada zaman arwah Tuan Guru Nik Aziz sebagai menteri besar Kelantan dan juga pada waktu itu Datuk Husam sendiri sebagai ahli Jawatankuasa Kecil Perhutanan (JKKP).

"Lupakah Datuk Husam bahawa Datuk sendiri pernah mempertimbangkan satu kelulusan Getah Klon Balak (TLC) kepada syarikat saya, Gemilang Krai Timber pada 2010?" soal Ali.

Ali turut membangkitkan isu projek ladang hutan TLC oleh Husam semasa menjadi exco kanan yang menurutnya gagal apabila hanya 28 peratus sahaja tanaman berjaya daripada jumlah 85,000 ekar tanah.

"Dari mana datangnya idea bodoh ini? Tepuk dada Datuk Husam Musa, anda pencetusnya dan kini sibuk menyalahkan orang lain pula?

“Ini lempar batu sembunyi tangan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS