Datuk Husam Musa berkata dakwaan bahawa saman yang dikemukakannya bersama Matthias Chang untuk membawa pulang aset serta wang diselewengkan dari dana 1MDB ditolak adalah tidak benar.
Kata bekas exco kanan Kelantan itu apa yang berlaku adalah penarikan balik saman berkenaan secara sukarela dan ia boleh dikemukakan semula pada masa depan.
"Kami perlu menyesuaikan saman ini dengan perkembangan-perkembangan (terbaru) ini, tanpa melupuskan usaha kami untuk membawa pulang harta dan wang yang diselewengkan dari 1MDB.
"Usaha ini sepatutnya dilakukan oleh kerajaan Malaysia sebagai pihak yang diamanahkan memelihara kepentingan negara ini.
"Malangnya, kerajaan tidak berbuat demikian. Seakan mereka bergembira wang negara hilang dan berharap kes penyelewengan wang negara ditutup begitu saja," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Malaysiakini melaporkan saman difailkan Husam serta Chang - bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad - pada Ogos lalu digugurkan dari mahkamah di AS.
Saman itu difailkan peguam mereka pada 11 Ogos.
Berikut adalah kenyataan penuh Husam berhubung isu berkenaan.
PENJELASAN PENARIKAN BALIK SAMAN SECARA SUKARELA*
Respon segera Datuk Seri Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia memeranjatkan saya.
Ia menunjukkan saman kami untuk membawa pulang aset dan wang yang diselewengkan dari 1MDB meninggalkan kesan ke atas kerajaan.
Namun begitu, kenyataan bahawa saman kami ditolak adalah tidak tepat.
Apa yang berlaku adalah penarikan balik secara sukarela atau VOLUNTARY DISMISSAL di bawah Rule 41(a)(1)(A)(i) of the Federal Rules of Civil Procedure, Amerika Syarikat, tanpa prejudis.
Ini bermakna kami dibenarkan untuk memfailkan semula kes ini.
Antara lain kerana perkembangan terbaru berkait kes DOJ (Jabatan Kehakiman AS) termasuk Red Granite telah bersetuju memasukkan permohonan bersama DOJ untuk mengehadkan pembekuan akaun dan pendapatan syarikat itu kepada filem The Wolf of The Wall Street dan Friends With Kids sahaja.
Akaun keseluruhan Red Granite dan pendapatan Red Granite daripada filem lain adalah dilepaskan.
Friends With Kids pertama kali diketahui ada kaitan dengan wang berasal dari 1MDB seperti kenyataan dalam permohonan bersama itu.
Permohonan bersama ini menunjukkan Red Granite, untuk satu tahap tertentu mengakui dua filem ini ada sebab untuk dinamakan oleh DOJ dalam saman mereka.
Hakim Mahkamah Central District of California, Western Division pada 16 Ogos 2016, telah memberikan perintah seperti permohonan bersama itu.
Antaranya, hanya akaun dan pendapatan dari kedua filem itu yang dimasukkan ke akaun khas sementara menunggu keputusan perbicaraan penuh.
Oleh itu, kenyataan Red Granite bahawa saman kami adalah fractious adalah tertolak.
Jika tidak, mengapa Red Granite memasukkan permohonan bersama dengan DOJ selepas DOJ memasukkan permohonan ex parte ke atas Red Granite sebelum itu.
Kami perlu menyesuaikan saman ini dengan perkembangan-perkembangan ini, tanpa melupuskan usaha kami untuk membawa pulang harta dan wang yang diselewengkan dari 1MDB.
Usaha ini sepatutnya DILAKUKAN OLEH KERAJAAN MALAYSIA sebagai pihak yang diamanahkan memelihara kepentingan negara ini.
Malangnya, kerajaan tidak berbuat demikian. Seakan mereka bergembira wang negara ini hilang begitu sahaja dan berharap kes penyelewengan wang negara ditutup begitu sahaja.
Harapan itu adalah sia-sia.
Sementara itu Chang pula memberitahu Malaysiakini mereka tahu apa yang dibuat berhubung saman berkenaan, malah ia adalah sebahagian daripada perancangan kedua-duanya.
"Jangan bimbang. Ketawa yang terbaik adalah ketawa yang terakhir. Kenyataan media Salleh terlalu awal.
"Kami tahu apa yang kami buat. Tonton klip video ucapan saya (berjudul) DOJ Bombshell sekali lagi. Tak lama lagi dia terpaksa menelan semula kata-katanya. Percayalah kepada Tuhan," kata Chang melalui WhatsApp.