Tindakan perdana menteri menjelaskan pendirian Yang di-Pertuan Agong dalam isu deklarasi menolak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mengundang bantahan pembangkang.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub berkata penjelasan Najib pelik kerana kebiasaannya kenyataan Seri Paduka dikeluarkan oleh setiausaha sulit baginda atau istana.
“Saya ingin bertanya, sejak bila Datuk Seri Najib menjadi jurucakap kepada Yang di-Pertuan Agong?” soalnya.
Najib malam tadi berkata Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah menjelaskan kepada Mahathir bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Perdana menteri berkata, beliau dimaklumkan oleh Seri Paduka bahawa baginda mengambil maklum perkara dibangkitkan tetapi menjelaskan tidak boleh mencampuri usaha itu.
Najib berkata, ini kerana deklarasi itu tidak mengikut perlembagaan dan tindakan sepatutnya diuruskan menurut amalan lazim melalui parlimen dan sistem pilihan raya.
Mahathir mengadap Agong di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 15 September lalu bagi menyerahkan Deklarasi Rakyat dalam pertemuan empat mata kira-kira satu jam 15 minit.
Mahathir dilapor turut membawa dokumen didakwa mengandungi tandatangan 1.3 juta rakyat Malaysia bagi menuntut Najib berundur sebagai perdana menteri.
Antara lain, Deklarasi Rakyat anjuran bekas pemimpin Umno, pembangkang dan NGO itu mendakwa Najib terbabit dalam skandal kewangan melibatkan syarikat pelaburan negara, 1MDB serta bantahan terhadap kemasukan RM2.6 bilion ke akaun peribadinya.
Dalam kenyataan hari ini, Salahuddin mempertikaikan langkah Najib itu dalam keadaan beliau menjadi pihak berkepentingan berkaitan dalam protes pada kepimpinannya itu.
“Mana mungkin Datuk Seri Najib yang menjadi subjek dalam Deklarasi Rakyat dan juga menjadi pihak berkepentingan, boleh mengeluarkan kenyataan mewakili Yang di-Pertuan Agong dalam isu melibatkan dirinya sendiri.
“Bagi saya, ianya suatu yang melanggari kebiasaan dan cuba memperbodohkan rakyat,” katanya.