Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal mengesahkan akan meneruskan perjuangan politiknya menggunakan sebuah parti sedia ada di Sabah tidak lama lagi.
Enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai parti itu Shafie berkata ia sudah diambil alih baru-baru ini dan kini dalam proses mendapat kelulusan pihak yang berkneaan.
Ditemui media di pejabat Pedaftar Pertubuhan (ROS) di Putrajaya hari ini bekas menteri itu berkata pengumuman mengenai parti itu akan dibuat selepas cadangan perubahan nama, logo dan perlembagaannya diterima.
"Alhamdulillah hari ini kita berpeluang mengemukakan (cadangan perubahan ke ROS) tetapi bukan (untuk) pendaftaran parti baru.
"Ia parti sedia ada, cuma ada perubahan dari segi nama, logo dan juga beberapa kandungan dalam parti itu yang perlu diselaraskan agar ia dapat memenuhi perjuangan kita," katanya.
Shafie adalah antara tokoh yang banyak menyumbang membawa Umno ke Sabah kira-kira 25 tahun lalu.
Malah Shafie dilaporkan pernah mendapat gelaran "kereta kebal Umno" daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun kedudukannya dalam kerajaan diketepikan ekoran perselisihan pendapat serta kritikan yang dibuatnya terhadap Najib dalam isu 1MDB.
Anggota Parlimen Semporna itu kemudian digantung keahliannya atas tuduhan melakukan kesalahan disiplin. Dua lagi tokoh kanan dalam Umno - Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir - dipecat pada 24 Jun 2016.
Shafie akhirnya mengumumkan keluar dari Umno pada 4 Julai lalu.
Ditanya mengenai butiran lanjut parti itu Shafie berkata masanya akan tiba untuk beliau mengumumkannya.
"Nantilah, tunggulah dulu. Waktunya akan sampai dan saya akan umumkan kemudian. Sekarang kita beri masa kepada ROS untuk uruskan apa yang perlu mereka lakukan," kata Anggota Parlimen Semporna itu.
Sebelum itu Shafie menghabiskan masa kira-kira dua jam di pejabat ROS berkenaan.
Sebelum ini Malaysiakini melaporkan Shafie tiba di pejabat ROS kira-kira 9.30 pagi selepas media dimaklumkan mengenainya malam tadi.
Beliau ditemani anggota parlimen Penampang, Darrell Liking dan anggota Dewan Undangan Negeri Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong.
Mengulas lanjut Shafie berkata ROS dijangka tidak akan mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan terhadap cadangannya kerana mereka mematuhi segala kehendak dan peraturan badan pendaftar itu.
Diminta mengulas tujuan memimpin parti baru itu Shafie menegaskan matlamatnya tetap sama iaitu melakukan perubahan dalam negara.
"Tujuan dan matlamatnya sama - kita nak menang dan ada perubahan dalam kerajaan," kata Shafie.
Tambah Shafie tindakannya itu juga dibuat kerana yakin dengan sokongan yang diterimanya di Sabah selain sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berada pada matlamat sama.
"Saya ingat rakyat faham bahawa di Sabah banyak parti dan banyak kerusi yang ditambah tapi apa yang penting rakyat tahu siapa yang akan mereka pilih siapa. Tak apalah, kita akan pastikan (mendapat sokongan).
"Kita kerjasama dengan semua pihak dan kita lihat atas landasan apa supaya ada perubahan di peringkat negeri Sabah sendiri," katanya.