Paling Popular
Terkini

Gabungan Angkatan Melayu Islam Nusantara (AMIN) enggan menyahut pelawaan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin untuk berdialog mengenai “Bahaya Ekstrimisme Agama” atas alasan tidak mahu berbalah.

Jurucakapnya Abdul Kareem Said Khadaied berkata kenyataan dikeluarkan ke atas Asri merupakan nasihat dan terpulang kepada Mufti Perlis itu sama ada mahu menerimanya atau tidak.

“Kita tak nak berdialog kerana tak nampak baiknya, kita tak suka argue (berbalah). Ini bukan cara kita.

“Kita nak cakap apa yang kita katakan pada Asri itu sebagai nasihat. Dia nak terima (atau tidak), itu terpulang,” katanya kepada Malaysiakini.

Kelmarin, AMIN dilaporkan mendesak kerajaan supaya membanteras fahaman Wahabi yang dilihatnya memberi ancaman keselamatan kepada negara.

Sheikh Abdul Kareem dilaporkan berkata Wahabi yang dikaitkan dengan ilmuwan Ibnu Taimiyyah tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana menjurus kepada gerakan militan ekstrim seperti IS.

Ia dilaporkan turut mendesak pihak berwajib supaya mengharamkan penceramah yang dilihat mengajar fahaman Wahabisme dalam apa jua bentuk di negara ini, dan desakan itu turut ditujukan kepada Asri.

Semalam Asri mempelawa Abdul Kareem untuk berdialog secara terbuka di Perlis tentang “Bahaya Ekstrimisme Agama”.

Cadangan itu dilontar Asri bagi menjawab dakwaan AMIN bahawa beliau perlu menghormati Raja-raja Melayu serta tidak memberikan pendapat yang dilihat menjurus kepada fahaman tersebut kerana beliau adalah mufti di negeri itu.

Abdul Kareem berkata walaupun bukan semua pengikut fahaman Wahabi pengganas namun hampir semua mereka ddiakwa begitu.

“Bukan semua berpegang pada Wahabi terlibat dengan keganasan tetapi boleh dikatakan 98 peratus datang daripada (pengikut fahaman) Wahabi,” tegasnya.

Dalam perang mulut Asri dan Abdul Kareem, mufti Perlis itu turut mengatakan bahawa tarekat Naqsyabandiah Khalidiyyah diikuti Abdul Kareem difatwakan sesat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Abdul Kareem menjawab, bukan keseluruhan jalur tarekat tersebut sesat tetapi sebilangan kecil sahaja.

“Bukan kata semua tarekat Naqsyabandiah Khalidiyyah itu sesat. Ia nama besar.

“Dalam Naqsyabandiah Khalidiyyah ada satu kumpulan ini, dia kata dia beramal dengan cara yang betul tapi sebenarnya tidak.

“Fatwa itu ditujukan kepada kumpulan berkenaan. Di Malaysia Naqsyabandiah Khalidiyyah itu banyak, yang difatwakan sesat tak sampai lima peratus,” katanya.

Lihat Komen
ADS