Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahathir mengadap Agong, serah Deklarasi Rakyat
Diterbitkan:  Sep 16, 2016 11:28 AM
Dikemaskini: 4:47 AM

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad mengadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah semalam untuk menyerahkan memorandum 'Selamatkan Malaysia'.

Salah seorang orang kanannya, Datuk Khairuddin Abu Hassan memberitahu Malaysiakini bahawa pertemuan itu berlangsung di Istana Anak Bukit, Kedah petang semalam.

"Ia adalah satu pertemuan empat mata antara kedua-duanya. Mahathir tiba kira-kira pukul 4.30 petang dan mesyuarat itu berlangsung kira-kira satu jam lima belas minit," kata Khairuddin.

Bekas naib ketua Umno Batu Kawan itu berkata Mahathir membawa Deklarasi Selamatkan Malaysia dan dokumen yang didakwa ditandatangani 1.3 juta rakyat Malaysia.

Deklarasi itu merupakan usaha oleh bekas pemimpin Umno, pembangkang dan NGO untuk menggesa pembaharuan institusi dan menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak daripada jawatan perdana menteri.

Antara lain, deklarasi itu mendakwa Najib terbabit dalam skandal kewangan melibatkan syarikat pelaburan negara 1MDB.

Najib menafikan dakwaan rasuah terhadapnya, sebaliknya mendakwa ia merupakan komplot untuk menjatuhkannya.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga membersihkan perdana menteri daripada sebarang tuduhan salah laku dalam skandal berkenaan.

Mahathir sebelum ini mengadu beliau tidak dibenarkan mengadap Agong untuk menyerahkan deklarasi tersebut.

Sumber yang rapat dengan Mahathir itu berkata mereka dimaklumkan bahawa Agong membenarkan Mahathir mengadap baginda pada hari Rabu.

Katanya, Mahathir tidak mengulas mengenai pertemuan tersebut selepas meninggalkan istana.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS