ULASAN Esok kita akan menyambut Hari Malaysia yang ke-53, suatu hari yang amat bersejarah buat seluruh warga Malaysia. Pembentukan Malaysia 53 tahun yang lalu bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu, maju, aman dan selamat daripada ancaman geopolitik pada waktu itu.
Alhamdulillah, dalam tempoh lebih 5 dekad ini, Malaysia telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran untuk menjadi sebuah negara yang aman, makmur dan harmoni.
Kejayaan ini adalah berkat komitmen dan usaha gigih rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama dalam menyumbang tenaga dan kepakaran untuk membangun dan memajukan negara.
Kini Malaysia berada di suatu persimpangan yang getir. Kita berhadapan dengan suatu krisis yang parah. Kos sara hidup rakyat kian meningkat. Harga barangan keperluan harian semakin mahal. Nilai ringit rendah. Pendapatan rakyat terjejas dengan suasana ekonomi yang suram.
Rakyat yang berpendapatan rendah paling terkesan dengan keadaan ekonomi hari ini kerana pendapatan yang mereka perolehi tidak dapat menampung beban kenaikan kos sara hidup yang tinggi. Sehinggakan ada yang terpaksa berhutang untuk hidup.
Dalam keadaan getir ini, rakyat amat berharap agar kerajaan tampil membantu meringankan beban yang mereka tanggung.
Mereka mahukan pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal, harga barangan keperluan harian yang patut, pendidikan yang berkualiti, biasiswa dan bantuan pendidikan untuk anak-anak, rumah yang mampu dimiliki, pertumbuhan ekonomi yang rancak dan yang paling penting ialah kehidupan yang selesa.
Namun, sepertimana yang diketahui ramai, kerajaan hari ini sedang bergelumangan suatu krisis kepimpinan yang parah sehinggakan tidak berupaya untuk membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.
Ekonomi negara tidak diurus dengan baik, rasuah bermaharajalela, keitirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan menggerunkan sehingga menyebabkan sumber kerajaan yang terhad tidak dapat diagih dengan secukupnya kepada sektor-sektor yang penting kepada kesejahteraan rakyat seperti pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam, pembangunan luar bandar, kebajikan masyarakat dan lain-lain lagi.
Perbelanjaan kementerian-kementerian dipotong menyebabkan banyak projek pembangunan serta program bantuan kepada masyarakat tidak dapat dilaksanakan. Namun anehnya, projek-projek mewah yang tidak masuk akal dilaksanakan untuk menguntungkan kroni.
Sebagai rakyat, kita mempunyai pilihan. Kerajaan dibentuk dengan mendapat mandat rakyat. Rakyat memberi mandat kepada kerajaan dengan harapan kerajaan akan melaksanakan segala kewajipan dan tanggungjawabnya terhadap rakyat dengan beramanah dan berintegriti.
Rakyat tahu bahawa hanya kerajaan yang beramanah dan berintegriti akan dapat memastikan rakyat hidup selesa dan sejahtera.
Sebaliknya, jika kerajaan tidak melaksanakan kewajipan dan tanggungjawabnya terhadap rakyat, maka rakyat mempunyai pilihan untuk tidak lagi memberikan mandat kepada kerajaan yang sama untuk mentadbir negara. Tiada gunanya kita menyerahkan amanah kepimpinan kepada mereka yang pecah amanah.
Suatu kerajaan baharu yang beramanah dan berintegriti perlu dibentuk menerusi proses pilihanraya yang bebas, adil dan demokratik. Kerajaan yang bakal dibentuk ini mestilah meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya.
Keutamaan hendaklah diberikan kepada usaha untuk memulihkan ekonomi negara, menyediakan peluang-peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat, meringankan beban kos sara hidup, melaksanakan reformasi institusi dan mengurus negara secara beramanah dengan berpandukan prinsip tadbir urus yang baik.
Pilihan ini berada di tangan rakyat. Kuasa rakyatlah yang akan menentukan masa depan negara kita. Samada kita mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang berjaya dan sejahtera atau sebuah negara yang gagal dan kacau bilau, segalanya terserah kepada kuasa rakyat.
Sempena sambutan Hari Malaysia yang ke-53 ini, marilah kita seluruh rakyat bersatu dalam membuat suatu komitment baharu untuk memulakan perjalanan ke arah Malaysia yang lebih baik.
TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN Bekas timbalan perdana menteri dan kini Presiden BERSATU.