Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kenapa BERSIH mahu berhimpun kali kelima 19 Nov ini
Diterbitkan:  Sep 15, 2016 9:10 AM
Dikemaskini: 1:24 AM

ULASAN l Malaysia masih dibelenggu krisis politik dan korupsi yang terbesar dalam sejarah negara.

Skandal 1MDB mula didedahkan di parlimen pada 2010, tetapi rakyat Malaysia masih belum mendapat jawapan sebenar mengenai isu ini. Perdana Menteri Najib Razak dan jemaah menteri sebaliknya berdiam diri.

Saman sivil oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (US DOJ) mendedahkan dengan lebih lanjut betapa besarnya skandal 1MDB.

Pengakuan oleh Menteri Rahman Dahlan bahawa Malaysian Official 1 (MO1) ialah Perdana Menteri Najib Razak turut mengesahkan bahawa wang daripada skandal 1MDB telah digunakan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 pada tahun 2013.

Oleh itu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH2.0) menegaskan bahawa Perdana Menteri Najib Razak harus meletak jawatan dengan serta-merta untuk membolehkan siasatan bebas dijalankan.

BERSIH2.0 percaya bahawa suatu tindakan protes adalah diperlukan. Rakyat Malaysia harus menyatukan tenaga dan mengambil pendirian tegas menentang skandal korupsi ini dan kegagalan institusi-institusi. Rakyat Malaysia perlu menuntut perubahan.

BERSIH2.0 akan melancarkan Konvoi BERSIH di seluruh negara pada Sabtu, 1 Oktober 2016, yang akan berkemuncak kepada perhimpunan BERSIH 5 pada Sabtu, 19 Oktober 2016.

Tuntutan BERSIH5 – reformasi institusi untuk Malaysia Baru

BERSIH2.0 menyedari bahawa penyebab utama krisis politik dan skandal 1MDB ialah kegagalan sistem demokrasi dan institusi. Oleh itu, tuntutan BERSIH bukan sahaja terhad kepada isu 1MDB dan peletakan jawatan Perdana Menteri Najib Razak.

Untuk membawa perubahan berterusan dan Malaysia Baru, kita perlu mengukuhkan institusi dan sistem pentadbiran negara. Secara khusus, lima tuntutan BERSIH5 ialah:

1. Pilihan Raya Bersih
Sistem pilihan raya kami masih lagi tidak bebas dan adil. BERSIH akan meneruskan tuntutan untuk mereformasikan sistem pilihan raya supaya hak rakyat untuk memilih kerajaan terpelihara.

Agenda Reformasi:
a) Mempertahankan hak untuk mengundi, termasuk menurunkan umur mengundi; dakwat kekal yang berkualiti; tempoh berkempen minima selama 21 hari; pendaftaran pengundi secara automatik; dan proses pengundi tidak hadir yang inklusif, telus, dan berakauntabiliti.
b) Persempadanan semula kawasan pilihan raya yang adil, berakauntabiliti, dan berlandaskan prinsip dan tujuan asas Perlembagaan Negara;
c) Akses media yang adil untuk parti politik dan calon, dan kebebasan media dan wartawan. e.g. peruntukan masa siaran yang seimbang untuk parti politik dan penganjuran debat antara calon Perdana Menteri.
d) Mereformasikan akta-akta pilihan raya untuk memperkasa SPR, termasuk sistem yang lebih adil, pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan, dan pembentukan kerajaan sementara untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa semasa pilihan raya.
e) Menubuhkan peraturan tentang pembiayaan dana politik, pengehadan pembiayaan, perbelanjaan, laporan terbuka, dan mengukuhkan penyeliaan dan penguatkuasaan SPR

2. Kerajaan Bersih
Keyakinan awam terhadap kerajaan dan institusi untuk membanteras korupsi telah menjunam, terutamanya dalam isu salah urus skandal 1MDB. Korupsi yang berleluasa dan beterusan telah memberi kesan kepada rakyat Malaysia melalui kenaikan kos sara hidup, GST, dan pemotongan belanjawan. Pentadbiran kerajaan yang bersih, telus, dan berakauntabiliti amat diperlukan.

Agenda Reform:
a) Kerajaan yang bersih meliputi:
• Memulihkan pengasingan kuasa eksekutif, perundangan, dan kehakiman untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa
• Disentralisasi kuasa eksekutif di semua peringkat, termasuk larangan terhadap Perdana Menteri untuk turut memegang jawatan Menteri Kewangan.
• Deklarasi aset terbuka oleh Menteri-menteri dan penjawat awam kanan.
• Pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya untuk mengelakkan campur tangan yang tidak wajar
• Mengukuhkan institusi seperti MACC, polis, dan lain-lain, dan memastikan Suruhanjaya-suruhanjaya penting bertanggungjawab terus kepada Parlimen
b) Menggubal dan melaksanakan undang-undang kebebasan maklumat di peringkat negeri dan negara

3. Kukuhkan Demokrasi Berparlimen
Fungsi parlimen harus dikukuhkan untuk memulihkan keyakinan awam. Pihak pembangkang dan kerajaan perlu diberi ruang untuk mendebatkan atau mencadangkan undang-undang dan dasar-dasar awam supaya pendapat rakyat diberi pertimbangan yang sewajarnya, di samping menyelia agensi-agensi kerajaan.

Agenda Reformasi:
a) Meningkatkan bilangan Jawatankuasa Parlimen untuk menambahbaik kualiti penggubalan undang-undang dan pengawasan kerajaan.
b) Proses penetapan agenda yang bersifat multipartisan dan inklusif.
c) Peruntukan masa perdebatan untuk isu yang dibawa oleh pihak pembangkang atau backbenchers
d) Mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen

4. Hak Membantah
Hak untuk membantah semakin disekat. Semakin ramai aktivis, ahli politik, dan rakyat biasa yang mengkritik kerajaan telah disiasat dan didakwa di bawah pelbagai akta drakonian seperti Akta Hasutan. Perubahan diperlukan supaya hak bersuara dihormati dan dilindungi.

Agenda Reformasi:
a) Memindah akta-akta yang melanggar kebebasan bersuara, berhimpun, dan berbersatuan seperti Kanun Keseksaan, Akta Polis 1967, Akta Keterangan 1950, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, dan lain-lain.
b) Menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk membendung salahlaku pihak polis dan mengukuhkan akauntabiliti awam.
c) Memansuhkan akta-akta yang represif, seperti Akta Hasutan 1948, Akta Majlis Keselamatan Negara 2015, Akta Kesalahan Keselamatan 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (POCA), Akta Pencegahan Keganasan 2015, dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

5. Memperkasa Sabah dan Sarawak
Pilihan Raya Negeri Sarawak yang berlangsung pada tahun ini menunjukkan sogokan dan penyalahgunaan kuasa dan aset kerajaan secara berleluasa. Selain itu, persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri Sarawak pada tahun lepas dilakukan dengan tidak adil dan melibatkan peningkatan bilangan kerusi yang tidak wajar.

Kejadian tersebut mungkin akan berlaku di Sabah, di mana bilangan kerusi Dewan undangan Negeri telah ditambah. Tanpa demokrasi yang kukuh, tuntutan untuk autonomi Sabah dan Sarawak tidak akan tercapai, dan sebaliknya penjajahan dalaman dan ekploitasi oleh golongan elite dari peringkat persekutuan dan negeri akan berterusan.

Agenda Reformasi:
a) Proses persempadanan semula yang adil dan berakauntabiliti untuk Sabah
b) Proses pengundi tidak hadir yang inklusif, telus, dan berakauntabiliti untuk semua rakyat Malaysia, termasuk pengundi Sabah dan Sarawak yang menetap, bekerja, atau sedang belajar di luar negeri.
c) Kebebasan berkempen dan akses media yang bebas untuk memastikan pengundi Sabah dan Sarawak boleh membuat pilihan yang bermaklum dalam pilihan raya
d) Menghapuskan pembelian undi dan sogokan dan penyalahgunaan kuasa dan aset kerajaan dalam pilihan raya umum dan negeri (Sabah) yang akan datang.
e) Disentralisasi untuk menguatkan kuasa pentadbiran Sabah dan Sarawak.

Konvoi BERSIH di Seluruh Negara

Pada 1 Oktober 2016, BERSIH2.0 akan melancarkan Konvoi Bersih di seluruh negara. Pelancaran tersebut akan berlangsung secara serentak di 6 kawasan seperti berikut:
1. Utara Semenanjung (Kangar, Perlis)
2. Selatan Semenanjung (Johor Bahru, Johor)
3. Pantai Timur (Kota Bahru, Kelantan)
4. Pantai Barat (Lumut, Perak)
5. Sabah (Sandakan)
6. Sarawak (Miri)

Objektif Konvoi Bersih adalah untuk meningkat kesedaran tentang tuntutan Bersih mengenai reformasi institusi dan keparahan krisis 1MDB. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu keluar dan memulakan perbualan nasional tentang isu-isu ini kerana masa depan bersama kami akan terjejas.

Konvoi Bersih akan bergerak menuju ke Kuala Lumpur, dan akan mengambil masa selama tujuh minggu untuk berakhir. Obor BERSIH akan diserahkan dari bandar ke bandar, kampung ke kampung secara berganti-ganti (relay). Pelbagai aktiviti akan dijalankan seperti pengedaran risalah, ceramah, dan perbualan dengan penduduk tempatan.

Konvoi BERSIH dianggarkan akan meliputi 246 bandar, pekan, dan kampung di seluruh semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak. Konvoi BERSIH akan berkemuncak pada perhimpunan BERSIH5 pada 19 November 2016 di Kuala Lumpur. Maklumat terperinci mengenai perhimpunan ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

Seruan BERSIH untuk “Satukan Tenaga – Malaysia Baru” turut menandakan ulang tahun ke-10 penubuhan BERSIH. Gerakan BERSIH telah melangkah jauh, tetapi perjuangan kami belum selesai. Kami memahami kekecewaan rakyat Malaysia yang telah lama menuntut perubuhan. Akan tetapi, kita tidak boleh berputus asa. Kita harus meneruskan perjuangan untuk perubahan, keadilan, dan hak asasi.

Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk SATUKAN TENAGA dan menyertai Konvoi BERSIH dan perhimpunan BERSIH 5 untuk membawa perubahan dan Malaysia Baru.


Jawatankuasa Pemandu BERSIH2.0 adalah Maria Chin Abdullah, Shahrul Aman Mohd Saari, Thomas Fann, Ng Geok Chee, Rama Ramanathan, Fadiah Nadwa Fikri, Farhana Abdul Halim, Jay Jay Denis, Dr Toh Kin Woon, Ong Lai Mun, Safwan Anang, Ann Teo dan Benedict Mansul.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS