Datuk Seri S Vell Paari menyamakan dakwaan akhbar Wall Street Journal (WSJ) mengenai isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor sebagai serangan terhadap kedaulatan Malaysia.
Bendahari Agung MIC itu berpendapat dakwaan WSJ ke atas Rosmah adalah satu bentuk serangan pengganas ke atas Malaysia bertujuan memusnahkan negara dari segi politik dan ekonomi.
"Saya tertanya-tanya berapa banyak WSJ dibayar untuk menyerang negara ini. Dalam anggaran kasar, WSJ dibayar sekurang-kurangnya AS$20 hingga 30 juta untuk menyerang Malaysia dan membawa ekonomi ke bawah ke ambang keruntuhan.
"Mereka yang membayar ini pastinya tidak lain daripada jutawan kroni yang menikmati peluang daripada perdana menteri sebelum ini yang kini hilang layanan istimewa daripada perdana menteri sekarang," kata beliau dalam kenyataan.
Dua hari yang lalu, WSJ mendakwa Rosmah membelanjakan AS$6 juta membeli pakaian, kasut dan barangan kemas antara tahun 2008 dan 2015 berdasarkan kepada dokumen-dokumen baru yang diteliti oleh WSJ.
"Dokumen-dokumen baru mendedahkan (Rosmah) membelanjakan sekurang-kurangnya AS$ 6 juta melalui caj kad kredit pada tahun-tahun kebelakangan ini - walaupun tidak mempunyai sumber pendapatan kecuali gaji suaminya.
"Beliau adalah satu-satunya anak guru sekolah, tidak mempunyai pekerjaan tetap dan suaminya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, adalah seorang birokrat dengan gaji tahunan sebanyak AS$ 100,000," kata laporan itu.
Lapor WSJ lagi, perbelanjaan dibuat di gedung membeli-belah Harrods di London, Saks Fifth Avenue di New York dan di beberapa tempat lain.
Pada Mac lalu, WSJ melaporkan Rosmah membelanjakan €750,000 di gedung barangan kemas De Grisogono milik Swiss di cawangan Itali dan AS$130,635 di Chanel di Honolulu, Hawaii.
Malaysiakini telah menghubungi pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor bagi mendapatkan ulasannya mengenai laporan itu dan sedang menunggu jawapannya.
Mengulas lanjut, Vell Paari berkata, serangan terbaru WSJ itu membuktikan media Amerika Syarikat itu bankrap idea dan terpaksa menyerang peribadi untuk mencari populariti dan mencemarkan imej negara ini.
"Serangan WSJ ke atas Rosmah tidak lain daripada satu pembohongan. Saya tidak akan terkejut jika selepas ini WSJ akan terbitkan laporan mendedahkan AS$600 juta dari kerajaan Arab Saudi sebenarnya dimasukkan ke dalam akaun kad kredit Rosmah.
"Kerana itulah yang WSJ mampu lakukan dengan baik. Mereka menulis fiksyen," ujar beliau lagi.