Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDB) perlu menyiasat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor kerana kemungkinan mengelak cukai.
Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng berkata ini kerana Rosmah dilapor membeli-belah dengan nilai melibatkan berjuta-juta ringgit.
The Wall Street Journal semalam melaporkan Rosmah membeli pakaian, kasut dan barang kemas berjumlah kira-kira AS$ 6 juta pada 2008 hingga 2015.
Lim berkata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak mengutuk WSJ kerana cuba "campur tangan dalam politik negara" tanpa menafikan laporan berkenaan.
"Bagaimana laporan mengenai Rosmah membeli belah adalah campur tangan politik? Rosmah tidak membeli beg tangannya dari Petaling Street," katanya merujuk kepada pasar di Kuala Lumpur yang menjual barang-barang tiruan.
Ahli Parlimen Segambut itu berkata Rosmah menghabiskan AS $2,055 sehari - cukup untuk membayar lapan orang dengan gaji minimum selama sebulan.
Namun, katanya Najib hanya memperoleh RM284,194.89 setahun.
"Jadi bagaimana Rosmah boleh menghabiskan begitu banyak dalam tempoh lapan tahun? Walaupun segunung emas pun akan rata," katanya.
Oleh itu, LHDN perlu bertindak pantas dan menyemak rekod cukai Rosmah dan Najib tanpa mengira sama ada terdapat penafian daripada pasangan itu, katanya.
"Melainkan LHDN juga memutuskan untuk tidak menyiasat dan menuduh WSJ berbohong," katanya.
WSJ memetik "pendedahan dokumen-dokumen baru" menunjukkan Rosmah membelanjakan AS $ 6 juta dalam caj kredit pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Ia termasuk perbelanjaan di gedung membeli-belah Harrods di London sehingga Saks Fifth Avenue di New York.
Dalam biografi beliau, Rosmah berkata, dia membeli pakaian dan barang kemas menggunakan wang sendiri.
Malaysiakini menghubungi pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor berhubung laporan WSJ tetapi masih belum menerima jawapan.