Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak membidas akhbar Wall Street Journal dengan berkata akhbar yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu perlu mengemukakan calon untuk pilihan raya umum Malaysia yang akan datang.
Katanya, ini memandangkan minat kukuh WSJ dan kecenderungannya dalam hal ehwal politik Malaysia.
"Mereka bertindak seperti ahli politik, tukang kempen dan bukan sebagai
media bebas atau kredibel," katanya dalam satu catatan blog.
Oleh itu, Salleh berkata, WSJ patut mengemukakan calon untuk bertanding di Malaysia pada pilihan raya umum akan datang.
Menurutnya, laporan WSJ itu bukannya mempunyai maklumat baru, tetapi hanya mengulangi dan menyiarkan semula dakwaan yang tidak terbukti.
"Mereka tidak berbuat apa-apa pun untuk mewajarkan tuduhan yang mencemarkan itu selain memetik sumber yang tidak dinamakan dan dokumen yang secara misterinya didakwa hanya WSJ yang telah bercakap dan melihatnya.
"Sumber dan dokumen ini mungkin tdak wujud, atau mungkin daripada musuh-musuh serta tidak lengkap ataupun salah.
"Liputan WSJ mengenai Malaysia menjadi semakin terdesak dan keterlaluan. Ia mengketepikan prinsip kewartawanan bebas iaitu berasaskan fakta untuk menjadi tidak lebih sebagai sebuah blog yang memihak - alat yang menurut telunjuk kuasa yang bermotifkan politik," katanya.
Salleh, yang juga adalah bendahari Umno, mendakwa WSJ dan orang yang menyuapnya dengan maklumat untuk kepentingan objektif sendiri seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan proksi beliau berusaha untuk mempengaruhi proses politik Malaysia dan menentukan siapa yang seharusnya membentuk kerajaan.
"Serangan berterusan mereka bukan mengenai kewartawanan, tetapi memaksa keangkuhan dan visi yang salah ke atas Malaysia. Jika kita mengalah, negara majoriti penduduk Islam yang harmoni stabil dan makmur ini akan terjejas,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa zaman 'yang kuat itu betul' dan zaman menurut
telunjuk penjajah telah berakhir.
Salleh berkata Malaysia tidak akan tunduk kepada sesiapa, terutama media neocon (kolonialisme) seperti WSJ yang memaksa campur tangan asing yang membinasakan di negara-negara Islam seperti Iraq.
Katanya, mereka itu sebenarnya secara tidak langsung bertangggungjawab dalam mencetuskan kematian, kemusnahan dan ketidakstabilan.
"Rakyat Malaysia lebih mengetahui cara untuk mentadbir negara sendiri dan mengekalkan kestabilan.
"Kami akan pastikan hanya rakyat Malaysia yang akan menentukan masa depan negara kami, melalui peti undi iaitu sebahagian daripada proses demokrasi," katanya.
Semalam, WSJ mendakwa isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor membelanjakan AS$ 6 juta membeli pakaian, kasut dan barangan kemas.
Menurut laporan itu, perbelanjaan dibuat antara 2008 dan 2015 dan adalah berdasar kepada dokumen-dokumen baru yang dimiliki dan diteliti mereka.