Kebanjiran warga asing di negara ini mencari rezeki sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk membangun serta memajukan penggunaan bahasa Melayu.
Berdasarkan data rasmi Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 2015, ada lebih 2 juta pekerja asing di negara ini yang bekerja di sektor pertanian, perkhidmatan, pembinaan, pembuatan dan pembantu rumah.
Mereka terdiri daripada warga Bangladesh, Thailand, Filipina, Pakistan, Myanmar, Nepal dan India.
Dalam keadaan mereka seramai itu dan gagal pula menguasai bahasa Melayu sesetengah rakyat negara ini kadang-kadang terasa seperti asing di tanah sendiri.
Pekerja swasta Hamidah Mustafa berkata dalam kehidupan sehariannya dia banyak berhadapan dengan pekerja asing yang hanya mampu berbahasa Inggeris sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Malaysia.
Justeru, Hamidah menyambut baik cadangan Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang menyarankan kerajaan mewajibkan pekerja asing mengikuti - dan lulus - kursus asas bahasa Melayu sebelum diterima bekerja di Malaysia.
“Sekurang-kurangnya kena ajar bahasa asas bahasa Melayu. Sebab kadang-kadang saya rasa kita ni macam pendatang walaupun berada di negara sendiri.
“Contoh macam kalau makan dekat KLCC, kita kena cakap orang putih dengan dia (pelayan). Kita macam warga asing, terutamanya kalau mereka tak fasih bahasa Melayu,” katanya kepada Malaysiakini.
Berbaloi kalau betul
Mohd Khairuddin kelmarin berkata pekerja asing perlu lulus asas bahasa Melayu bagi memudahkan dan melancarkan sebarang urusan yang berkaitan dengan mereka.
Selain itu, katanya ia turut dapat memperkasa dan mengembangkan penggunaan bahasa Melayu.
Bagi Naib Presiden Pertubuhan Keselamatan Asia (Apsa) Datuk Abdul Malek Abdul Hamid pula cadangan pekerja asing mempelajari bahasa Melayu adalah idea yang bagus namun memerlukan masa agak lama untuk dilakukan.
Sekiranya perkara itu mahu diteruskan katanya pekerja asing terbabit perlu diberi pendedahan mengenai bahasa Melayu dengan sewajarnya.
“Kalau betul (negara ini nak mewajibkan pekerja asing mahir bahasa Melayu), mereka boleh diberi pendedahan. Berbaloi kalau ia dilakukan dengan betul,” katanya yang menambah kajian perlu dibuat bagi melihat perkara itu dari sudut pandang yang tepat.
Bagi Pengurus Operasi Syarikat Perunding Keselamatan Syamsuddin Abdullah pula memang pekerja warga asing perlu menguasai bahasa Melayu untuk memudahkan komunikasi dua hala dengan rakyat di negara ini.
Katanya, memang sangat wajar warga asing dilatih bahasa Melayu sebelum datang ke Malaysia atau mengikuti kelas berkenaan yang dikendalikan melalui kedutaan mereka di sini.
Langkah itu kata Syamsuddin penting bagi memastikan imej negara kekal dilihat baik dan menolak dakwaan sesetengah pihak asing yang menuduh Malaysia mengabaikan rakyat mereka di sini.
“Jika tidak, Malaysia akan dipandang negatif kerana ada sesetengah negara yang anggap kita mengabaikan pekerja di kalangan rakyat mereka.
“(Sebenarnya mereka yang) kerja tak betul sebab tak faham atau salah faham arahan. Situasi begini banyak berlaku, terutamanya dalam sektor kawalan keselamatan swasta,” katanya.
Selain itu, penjawat awam Jayabalan Harirajan pula mencadangkan pekerja asing tidak perlu mengikuti peperiksaan dalam bahasa Melayu sebaliknya hanya ujian lisan asas bahasa.
Ia kerana katanya pihak ketiga yang menguruskan pekerja asing itu mungkin akan mengambil kesempatan dengan menetapkan kos pembelajaran dan peperiksaan yang akan ditanggung oleh pekerja asing itu sendiri.
“Pihak ketiga akan ambil kesempatan kalau buat peperiksaan, ini semua akan bebankan pekerja asing sedangkan mereka dah banyak sangat tanggung kos sebelum diterima kerja di sini.
“Mereka (pekerja asing) perlu buat pemeriksaan kesihatan, bayaran insurans diri dan pelbagai kos lain.
"Sekarang kita perlu pastikan bahawa pekerja ini tak terbeban,” katanya.
Bagi bekas pengarah pengurusan sumber manusia sebuah hotel Normala Ibrahim berkata warga asing perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Melayu atau Inggeris terutamanya dalam bidang perhotelan.
Beliau yang memberi contoh pekerja barisan hadapan seperti penyambut tetamu, pengangkut bagasi, penjaga kaunter dan tukang tunjuk arah perlulah mahir berbahasa Melayu dan Inggeris.
“Apabila kita (pihak hotel) buat program belajar bahasa secara asas, mereka boleh berkomunikasi (dan) kalau boleh mantapkannya lagi bagus.
“(Kerana) tetamu akan tanya arah dan macam-macam. Seperti yang saya cakap ia bergantung kepada keperluan industri,” katanya.
Pekerja bank Nor Kamalia Muhamad Kamal pula mengalami masalah dalam urusan perbankan ketika berhadapan dengan pelanggan terdiri daripada pekerja asing yang tidak tahu berbahasa Melayu dan Inggeris.
Katanya, sekiranya berhadapan dengan pelanggan sedemikian, urusan perbankan akan mengambil masa yang lama kerana pekerja asing ini tidak memahami apa yang diperlukan dalam urusan berkenaan.
“Susah nak berkomunikasi dengan mereka. Saya kerja bank dan kadang-kadang pekerja asing ini bawa kawan dia (untuk bantu komunikasi) tapi kita lebih sesuai bercakap dengan pemegang akaun sendiri.
“Ia selalu berlaku, urusan lima minit boleh jadi sehingga 10 minit dan selalu juga salah komunikasi,” katanya yang mencadangkan perlunya ujian lisan bagi pekerja asing itu.
Sementara itu penjawat awam Zulfadli Nurahim pula mencadangkan kerajaan tidak membawa masuk pekerja asing dan menawarkan pekerjaan kepada rakyat sendiri dengan gaji yang setimpal.
“Lebih baik mereka (pekerja asing) tidak ada. Kalau nak ambil, ambil rakyat tempatan bekerja dengan gaji yang setimpal,” katanya.
Namun katanya sekiranya kerajaan tetap mahu mengambil pekerja warga asing mereka boleh mengambil dari negara jiran yang memahami bahasa Melayu.