DAP mahu polis dan Bank Negara menyiasat dakwaan bahawa pegawai-pegawai dari sebuah bank tempatan secara aktif bersubahat dengan jutawan kontroversi Jho Low untuk pencucian wang haram.
"Sebagai pihak bertanggungjawab terhadap Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA), Polis Diraja Malaysia dan khususnya, Bank Negara perlu mengambil tindakan segera untuk menyiasat dakwaan yang sangat serius itu.
"Mereka mesti disiasat dan jika didapati benar, tindakan konkrit perlu diambil untuk melindungi integriti institusi perbankan dan sistem kewangan.
"Jika tidak, reputasi Bank Negara dan Malaysia akan menerima pukulan," kata Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua dalam satu kenyataan hari ini.
Pua berkata demikian sebagai mengulas laporan yang disiarkan dalam The Wall Street Journal (WSJ) pada 6 September yang mendakwa pegawai-pegawai di sebuah bank tempatan bersubahat dengan aktiviti pengubahan wang haram apabila berbilion ringgit dikatakan dipindahkan ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam membuat dakwaan itu, kertas kewangan membuktikan dakwaan dengan transkrip perbualan peribadi dikatakan antara pegawai-pegawai kanan bank dan Jho Low, yang menjalankan urusniaga bagi pihak perdana menteri.
Ini adalah selepas Najib didakwa memberi akses kepada Jho Low ke akaun beliau, yang didakwa WSJ didedahkan dalam dokumen siasatan yang dilihatnya.
Menurut WSJ, hubungan Jho Low adalah dengan seorang pegawai bank yang diberi amaran oleh beliau melalui BlackBerry untuk berkomunikasi berhati-hati, manakala seorang eksekutif kanan yang dikatakan mengendalikan akaun peribadi itu.