Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendapat kelulusan rasmi daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menjadi pertubuhan politik sah di negara ini.
Kelulusan tersebut diberi oleh ROS selepas menerima penjelasan secara langsung daripada pimpinan parti berkenaan sebentar tadi.
Antara penjelasan yang diberikan kepada badan pengelola pertubuhan di negara ini ialah peranan dua jawatan tertinggi BERSATU, iaitu presiden dan pengerusi.
Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tujuan mereka memasukkan dua jawatan berkenaan pada perlembagaan adalah sebagai mekanisme menjadikan parti berkenaan berada dalam keadaan telus.
"Tujuan kita masukkan jawatan presiden dan pengerusi dalam perlembagaan parti adalah untuk mengadakan satu check and balance supaya parti kita agak telus, dan segala perjalanan parti dibuat atas dasar check and balance.
"Kedua, ia membolehkan parti dilihat sebagai parti yang mengikut kehendak rakyat," katanya kepada media.
Bekas timbalan perdana menteri itu sebelumnya berjumpa dengan pegawai ROS bagi memberikan penjelasan lanjut berhubung kandungan perlembagaan BERSATU.
Turut hadir bekas perdana menteri yang juga Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad.
Muhyiddin juga menjelaskan mereka membuat sedikit pindaan pada logo BERSATU.
Katanya pindaan itu dibuat atas permintaan ROS.
Mahathir pegang 'sijil kelahiran' BERSATU
Ketika sidang media dijalankan, Mahathir memegang 'sijil kelahiran' BERSATU dalam tangannya untuk menunjukkan kepada media sambil tersenyum.
Selepas sidang media, mereka juga berdoa kepada Allah atas kejayaan pendaftaran parti BERSATU.
Ditanya ROS tidak membenarkan penggunaan nama BERSATU bagi mempromosikan parti itu, Muhyiddin berkata mereka agak tidak puas hati dengan syarat ROS ini.
Namun, mereka sanggup menerima arahan ROS demi pendaftaran parti.
"Kami tidak ingin bertengkar tentang isu ini kerana seperti nasihat Mahathir, yang penting ialah kita mendapat kelulusan pendaftaran parti dan kita akan mengikut segala arahan ROS," kata Muhyiddin.
Katanya juga, parti BERSATU telah mendapat nombor pendaftaran dan mereka akan menyediakan borang pendaftaran ahli secepat mungkin.
Beliau menjangka 14 September ini dapat sedia borang untuk diberi kepada mereka yang berminat masuk parti mengisinya.
Katanya juga, wang pendaftaran sebanyak RM2 dan yuran sebanyak RM2 perlu dibayar oleh mereka yang masuk parti.
"Kita tak tentu sasaran bilangan ahli tapi kita harap dapat sejumlah besar ahli dan kita akan gerakkan kempen ke seluruh negara," katanya.
Mahathir pula berkata BERSATU tidak akan mengadakan mesyuarat agung tahun ini kerana kesuntukan masa.
"Tahun ini kita tak dapat adakan mesyuarat agung kerana tak cukup masa, tahun depan kita akan ada satu mesyuarat agung.
"Mesyuarat agung itu akan menentukan tentang beberapa kehendak parti termasuklah pemilihan parti," katanya.