Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jika pembangkang yakin boleh memenangi 45 kerusi pada pilihan raya umum akan datang, Umno pula, kata Tan Sri Noh Omar, yakin memperolehi majoriti dua pertiga di parlimen.

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu berkata semua orang boleh bercakap mengenai keyakinan masing-masing memenangi pilihan raya.

"Saya pun boleh cakap kita akan menang dua pertiga majoriti," katanya kepada media di Sungai Buloh hari ini.

Noh diminta mengulas kenyataan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pembangkan yakin dapat memenangi 45 kerusi BN pada pilihan raya umum akan datang.

Malaysiakini semalam melaporkan kenyataan Muhyiddin bahawa 67 kerusi yang dimenangi BN kini terumbang-ambing dan 45 daripadanya dapat dimenangi hanya dengan peralihan sebahagian kecil pengundi.

"Dalam simulasi dibuat oleh pakar-pakar yang saya lantik, kalau ada empat peratus swing (peralihan kerusi), 45 kerusi akan jatuh.

"Sebahagian besar tu kerusi yang dipegang Umno," kata Muhyiddin di Sabak Bernam, Selangor.

Muhyiddin adalah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Kata Noh sesiapa pun yang memberi kenyataan biarlah secara praktikal.

“Semua orang boleh cakap, tambah lagi pembangkang, dia boleh cakap apa saja dia nak cakap tapi kita kena praktikallah,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung tindakan kerajaan mengesahkan Malaysian Offical 1 (MO1) adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Noh enggan mengulas.

Sebaliknya, Noh meminta pihak media bertanya sendiri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

“Tanya Rahman Dahlan sendirilah,” ringkas jawab Noh.

Rahman sebelum ini mengakui bahawa perdana menteri adalah MO1 yang disebut dalam tindakan saman oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat untuk merampas aset yang didakwa dibeli dengan wang yang dicuri daripada 1MDB.

DOJ dalam saman sivilnya merujuk MO1 sebagai pegawai berpangkat tinggi Malaysia yang memiliki pengaruh dalam 1MDB dan mempunyai kaitan dengan penerbit filem Riza Aziz.

Kira-kira AS$ 731 juta daripada 1MDB dikatakan telah dipindahkan ke akaun peribadi MO1.

Riza adalah anak tiri Najib, dan beliau dinamakan sebagai salah seorang daripada mereka yang dikatakan memiliki aset yang dibeli dengan wang tunai 1MDB.

Pada 1 September, menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan memberitahu media penyiaran British BBC bahawa Najib adalah MO1 tetapi tidak dinamakan kerana tidak terlibat dalam kes yang sedang disiasat itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS