ULASAN Saya dengan segala hormatnya ingin merujuk kenyataan Tan Sri Harussani supaya ahli politik dan pihak berkenaan menghentikan desakan supaya mufti, ulama dan agamawan memberi pandangan tentang isu berkaitan 1MDB dan kenyataan Jabatan Kehakiman (DOJ), Amerika Syarikat.
Saya juga merujuk kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani yang mufti-mufti tidak akan buat kenyataan jika 1MDB hanya satu prasangka, prejudis dan fitnah.
Sebenarnya kami membuat gesaan tersebut kerana sayangkan institusi mufti, para ulama dan agamawan supaya terus di hormati dan di sanjung serta kekal relevan dalam masyarakat Islam khususnya hari ini.
Untuk terus dihormati, institusi institusi tersebut perlulah memainkan peranan sebagai badan yang peka serta sensitif isu semasa yang boleh menjejaskan sebuah kerajaan yang diterajui oleh pemimpin beragama Islam yang mendukung sikap wasatiah.
Itulah harapan umat Islam Malaysia supaya para agamawan ke hadapan memberi pandangan bernas supaya memelihara nama baik kerajaan pemimpin Islam di Malaysia.
Isu ini sudah lama bergema bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia dan hanya yang pekak dan buta tidak mengetahui tentangnya dan yang bisu sahaja tidak pernah bercakap tentang masalah 1MDB.
Ini isu semasa yang amat relevan. Bukan hanya DOJ mengeluarkan kenyataan tetapi juga kerajaan Singapura, Switzerland, Hong Kong dan Abu Dhabi.
Jabatan Peguam Negara Malaysia dan Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) parlimen Malaysia juga pernah menjalankan siasatan dan dihentikan setelah ketuanya ditukar dan diberhentikan.
Majlis raja pun rujuk pakar
Berasakan fakta-fakta di atas susahlah hendak dikatakan isu kontroversi 1MDB berasakan semata mata prejudis, prasangka dan fitnah.
Kalau Tan Sri Harussani menyatakan para agamawan tidak mempunyai maklumat, ilmu dan kepakaran dalam isu berkenaan itu bukan alasan yang boleh di terima kerana ulama terkenal antarabangsa seperti Dr Yusof Qardhawi dan ulama tempatan almarhum Datuk Nik Aziz Nik Mat pernah mengulas isu semasa dan mereka disanjung tinggi masyarakat.
Majlis raja-raja Melayu pun merujuk kepada pakar tertentu sebelum membuat kenyataan tentang 1MDB.
Kepakaran luar boleh dicari dan dirujuk jika ada kemahuan yang bersungguh sungguh.
Ada fakta-fakta yang jelas dari rekod rasmi parlimen yang cukup untuk digunakan sebagai asas untuk komen dari aspek agama.
Apabila saya menyoal di parlimen, timbalan menteri kewangan mengakui kerajaan telah memindah berbilion ringgit wang 1MDB untuk pelaburan ke kepulauan Caymen, iaitu pusat terkenal pengubalan wang haram, judi dan dadah sedunia!
Wang ini juga kemudian dipindah kembali ke Malaysia.
Kita juga diberi tahu oleh kerajaan bahawa 1MDB menaja jemaah haji ke Mekah.
Bukankah ini isu yang patut menimbulkan kecurigaan para agamawan? Ini hanya satu contoh sahaja.
Tindakan 'kerajaan Islam' Abu Dhabi
Kalau laporan DOJ dari negara bukan Islam, dikatakan mencurigakan, tindakan kerajaan Islam Abu Dhabi yang menangkap rakyatnya sendiri Khadem Al Qubaisi atas tuduhan menggunakan lebih RM,400 juta untuk membeli dua Kelab Malam di Las Vegas patut dipandang berat.
Ia bukan semata-mata isu kewangan tetapi menyentuh isu pokok hukum hakam serta halal haram dalam Islam.
Pandangan umum terhadap para agamawan dan badan agama Islam bergantung atas sikap dan tindak tanduk pihak berkenaan.
Jika mereka mengakui tokoh dalam bidang agama, mereka hendaklah memainkan peranan yang sepatutnya bagi meyakinkan rakyat mereka pembela Islam dan terus menjadi relevan.|
Kami menggesa dan menegur kerana sayang dan ingin mahu melihat institusi agama terus dihormati dan disanjung.
Datuk Asri Zainul Abidin, mufti Perlis, yang berani memberi pandangan diserang oleh pihak tertentu kerana pandangan beliau tidak sama dengan pemerintah.
Beliau diminta di pecat. Tiada pihak agamawan kerajaan membela beliau.
Apabila mufti Pahang mengeluarkan kenyataan kontroversi yangg disenangi pemerintah tentang golongan khafir harbi, ada ramai pula pihak yang memberi justifikasi kenyataan tersebut.
Kepada Tan Sri Harussani kami ingin menyatakan, kami berhak meminta para mufti, ulama dan agamawan memberi pandangan dalam isu 1MDB kerana ia melibatkan perkara pokok hukum hakam serta halal haram dalam Islam.
Kepakaran ekonomi berkaitan boleh diperoleh dari ahli dalam bidang bidang berkenaan.
Bukankah golongan agamawanlah yang paling layak dalam hal ini?
Kalau kami tidak meminta pandangan mereka, dari siapa lagi ? Apakah yang menjadi kegelisahan Tan Sri Harussani dalam menjalankan tanggungjawap ini?
Majlis Raja-raja Melayu bersama ahli politik Malaysia, negara negara asing antarabangsa, anak-anak muda serta paderi Kristian Malaysia semalam meminta masalah 1MDB diselesaikan Kerajaan.
Anehnya Mufti Perak, Tan Sri Harussani, melarang supaya jangan suruh para ulama, mufti dan agamawan bagi pandangan tentang 1MDB!
Bukankah Islam menuntut para ulama dan agamawan berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim walaupun betapa pahit kenyataan tersebut?
RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD anggota parlimen Kuala Terengganu.