Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya mati terus kalau tengok RM4b dalam akaun Najib'

Menteri Umno Datuk Seri Nazri Aziz berkata beliau 'akan mati' serta merta sekiranya melihat RM4 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menjawab kenyataan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa hampir pengsan selepas ditunjukkan jumlah berkenaan dalam akaun Najib.

"Kenapa dia tak pengsan, kenapa hampir pengsan kalau betul. Dia patut pengsan jika ia betul.

"Hakikatnya tak betul, itu sebab dia tak pengsan.

"Sepatutnya dia (Muhyiddin) pengsan bila tengok akaun Najib ada RM4 billion. Bila dia tak pengsan, makna itu tak betul.

"Kalau saya tengok RM4 bilion, bukan saya pengsan, saya mati terus," katanya.

"Saya kenal Datuk Seri Najib. Dia bukan jenis orang yang curi wang. Biar saya beritahu kamu," kata menteri pelancongan dan kebudayaan itu.

Muhyiddin mendakwa hampir RM1 bilion berada dalam akaun bank Najib sebelum RM2.6 bilion derma dilaporkan secara meluas.

Katanya, beliau mendapat tahu mengenai deposit itu selepas peguam negara ketika itu Tan Sri Abdul Gani Patail berkongsi maklumat dengannya.

Muhyiddin, yang juga presiden protem Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata ia bermakna hampir RM4 bilion berada dalam akaun Najib.

Sementara itu, Nazri enggan mengulas kenyataan anggota jawatankuasa protem BERSATU Syed Saddiq Syed Abdul Rahmah yang menggesa pemimpin Umno tidak bersikap 'hipokrit'.

Nazri berkata tidak penting baginya untuk mengulas kenyataan pemimpin BERSATU itu.

"Dia seorang budak, saya tak kenal dialah. Tak penting.Kamu mahu saya ulas, (dia mesti) seorang ahli politik sebenar. Seseorang yang telah dipilih oleh rakyat.

"Jika beliau bercakap saya akan beri respons tetapi orang lain tidak penting kepada saya," katanya menggesa Syed Saddiq untuk bertanding pilihan raya umum.

Syed Saddiq menyelar Umno kerana mewartakan Akta Majlis Keselamatan Negara tanpa persetujuan majlis raja-raja, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad dikritik kerana menyatakan pendapatnya mengenai 'Bangsa Johor'.

Beliau juga membangkitkan kenyataan Nazri sebelum ini yang memberi amaran supaya Tunku Mahkota Johor sedia untuk 'dibelasah' jika mencampuri urusan politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS