Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Seorang bekas pemimpin negara kaki gaduh, kata Najib
Diterbitkan:  Aug 27, 2016 1:58 PM
Dikemaskini: 6:16 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan seorang bekas pemimpin negara yang berkhidmat selama 22 tahun
sebagai kaki gaduh.

Presiden Umno itu berkata ini kerana pemimpin tersebut sering mengkritik pemimpin terdahulu dan sekarang sebagai tidak betul dalam segala tindak tanduk mereka.

"Ada pihak yang mengatakan Malaysia negara gagal, apatah lagi ini disebut oleh bekas pemimpin yang kita sanjung selama ini, saya dan Menteri Besar (Pahang) Datuk Seri Adnan Yaakob antara penyokong setia (pemimpin itu) selama 22 tahun.

"Kita pertahankan dia, tapi hari ini dia tergamak duduk sama dengan pembangkang. Kita semua faham orang yang kaki gaduh ini akan selalu cari gaduh.

"Pertama dengan (perdana menteri pertama) Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj) (dikatanya) tak betul, (perdana menteri ketiga) Tun Hussein Onn tak betul, (bekas timbalan perdana menteri) Tun Musa Hitam tak betul, (perdana menteri kelima) Tun Abdullah Ahmad Badawi tak betul dan terbaru Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar juga tidak betul," katanya.

Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Cameron Highlands hari ini.

Najib turut menarik perhatian apabila mencabar mana-mana pihak dalam Umno yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Umno termasuk dirinya supaya bertanding dan mencabar beliau selaku presiden dalam pemilihan parti akan datag.

"Kalau hendak jatuhkan saya bertandinglah dalam Umno tapi jangan runtuhkan Umno," katanya ambil disahut tepukan gemuruh.

Malah, Najib secara sinis berkata jika beliau mempunyai hasrat menjadi perdana menteri dan presiden Umno untuk tempoh 22 tahun lagi, perlembagaan parti sebelum ini boleh dipakai.

"Kalau mengikut perlembagaan dahulu, siapa nak bertanding presiden dia mesti mendapat sokongan daripada 56 Bahagian Umno, ingat senang nak dapat, satu pun susah.

"Tetapi bila saya jadi presiden Umno dan perdana menteri saya ambil langkah pindah perlembagaan dan serahkan nasib saya kepada 160,000 perwakilan yang layak memilih," katanya.

Selain itu, Najib meminta rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang laporan berita oleh pihak asing termasuk Wall Street Journal (WSJ) kerana ia tidak akan membawa kebaikan.

"Apa yang penting adalah apa yang kerajaan beri kepada rakyat, bantu keluarga kita, ada pekerjaan atau sebaliknya, semua ini bukan WSJ yang tentu dan berikan.

"Usah ambil kisah sangat cerita daripada pihak luar, tetapi apa yang penting adalah kita mampu pertahankan kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, perdana menteri mengulangi kenyataan bahawa keputusan beliau memperkenalkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 dibuat demi keselamatan rakyat dan negara.

"Bila saya jadi perdana menteri saya mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) saya dikutuk kata tak patut, dan bila saya wujudkan Akta MKN saya dikata nak jadi diktator kononnya rampas kuasa daripada Yang di-Pertuan Agong.

"Saya tidak akan memohon maaf untuk tindakan yang saya ambil demi keselamatan negara kerana kalau ada ancaman, ada yang mati, mayat bergelimpangan apakah maknanya? Keamanan negara boleh berubah sekelip mata sahaja," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS