Aktivis sosial Syed Azmi Abhalshi menjelaskan beliau tidak pernah menyebut nama Datuk Kazim Elias atau pusat pengajian agama pendakwah itu ketika membuat dakwaan serangan seksual.
“Sekali lagi, saya tidak pernah sebut namanya dan sekolahnya dalam sebarang posting saya,” katanya.
“Buat masa ini, ia tamparan terhadap perjalanan saya yang antara lain untuk mewujudkan kesedaran kanak-kanak,” katanya ketika diminta mengulas laporan polis oleh Kazim terhadapnya dan selebriti Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot.
“Jadi, tolonglah, doa untuk saya. Dan jika saya perlukan peguam, tolong ada di sana demi saya.
“Yang lain, tolong percaya pada anak kamu,” tulisnya lagi di Facebook.
Beliau bagaimanapun berkata perlu mengetahui kandungan laporan polis itu dulu sebelum mengulas lanjut.
Syed Azmi diminta mengulas rakaman kenyataan Kazim berkaitan laporan polis itu yang videonya dikongsi di media sosial.
Kazim membuat laporan berkaitan dakwaan serangan seksual ke atas pelajar Pusat Pendidikan Al-Barakah di Ipoh semalam
Sebagai pengasas dan pengetuanya, Kazim mendakwa dua individu terkenal itu membuat komen negatif mengenainya.
Sejak beberapa hari lalu tersebar dakwaan amalan seks luar tabii di sebuah sekolah agama di Perak selepas beberapa ibu bapa mengadu anak mereka menjadi mangsa.
Sekolah agama itu dikatakan dimiliki seorang penceramah terkemuka.
Polis Perak dilaporkan berkata setakat semalam pihaknya telah mengambil keterangan daripada 10 individu termasuk pelajar, pengadu dan wakil pihak sekolah.
Selain terkenal sebagai penceramah Kazim pernah ditawarkan menganggotai Majlis Tertinggi Umno pada November 2013. Beliau bagaimanapun menolak tawaran berkenaan.
Wardina, 37, pernah membintangi beberapa drama seperti Kalam Cinta Rabiah, Maka Diciptakanya Perempuan dan filem Lagi-lagi Senario.
Syed Azmi pula dikenali sebagai aktivis sosial yang terlibat dalam kerja kebajikan membantu golongan kurang bernasib baik.
Dia pernah menjadi perhatian ramai apabila terlibat dalam program “I Want Touch A Dog”.
Kazim berkata komen dibuat Wardina dan Syed Azmi "sangat memalukannya".
Semakan di akaun Facebook Wardina menunjukkan dia ada memberi komen balas berhubung isu berkenaan.
Bagaimanapun peringatan pada akaun itu mengingatkan tiada sesiapa diizinkan mengambil petikan posnya tanpa kebenaran.