Penyebaran dakwaan berlaku serangan seksual ke atas pelajar Pusat Pendidikan Al-Barakah di Ipoh memasuki perkembangan baru hari ini.
Pengasas dan pengetuanya, Datuk Kazim Elias petang tadi membuat laporan polis ke atas dua individu terkenal kerana didakwa membuat komen negatif mengenainya.
Dua individu itu ialah bekas pelakon dan pengacara televisyen Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot dan aktivis sosial Syed Azmi Abhalshi.
Portal Perak Today melaporkan Kazim bersama beberapa ahli jawatankuasa sekolah itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh kira-kira jam 3.50 petang.
Menurut Kazim laporan itu dibuat sebagai langkah mempertahankan dirinya yang berdepan komen negatif dan secara langsung dapat dikaitkan dengannya.
“Malah ada yang menggelarkan saya dengan gelaran-gelaran buruk ekoran viralnya di dalam Facebook mereka,” Kazim dipetik sebagai berkata.
Sejak beberapa hari lalu tersebar dakwaan kononnya berlaku amalan seks luar tabii di sebuah sekolah agama di Perak selepas beberapa ibu bapa mengadu anak mereka menjadi mangsa.
Sekolah agama itu dikatakan dimiliki seorang penceramah terkemuka.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi dilaporkan berkata setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan daripada 10 individu termasuk pelajar, pengadu dan wakil pihak sekolah.
Petang tadi Malaysiakini juga melaporkan Kazim membuat laporan polis pada Sabtu untuk membolehkan siasatan dijalankan, serta membersihkan nama institusi itu.
Selain terkenal sebagai penceramah Kazim pernah ditawarkan menganggotai Majlis Tertinggi Umno pada November 2013. Beliau bagaimanapun menolak tawaran berkenaan.
Wardina, 37, pernah membintangi beberapa drama seperti Kalam Cinta Rabiah, Maka Diciptakanya Perempuan dan filem Lagi-lagi Senario.
Syed Azmi (gambar) pula dikenali sebagai aktivis sosial yang terlibat dalam kerja kebajikan membantu golongan kurang bernasib baik.
Dia pernah menjadi perhatian ramai apabila terlibat dalam program I Want Touch A Dog.
Menurut Kazim pengguna media sosial diingatkan supaya berhati-hati menulis komen supaya tidak terbabas daripada batasan agama.
Menurut Kazim pengguna media sosial diingatkan supaya berhati-hati menulis komen supaya tidak terbabas daripada batasan agama.
Katanya komen dibuat Wardina dan Syed Azmi "sangat memalukannya".
Justeru kata Kazim beliau berasa perlu melakukan sesuatu bagi membersihkan namanya serta Pusat Pendidikan Al-Barakah.
“Jadi saya minta supaya pihak polis mengambil siasatan ke atas perkara ini supaya tidak berlaku fitnah yang berpanjangan terhadap diri saya, terhadap sekolah saya," katanya.
Semakan di akaun Facebook Wardina menunjukkan dia ada memberi komen balas berhubung isu berkenaan. Bagaimanapun peringatan pada akaun itu mengingatkan tiada sesiapa diizinkan mengambil petikan posnya tanpa kebenaran.