Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belum ada campur tangan asing, kata menteri luar
Diterbitkan:  Aug 14, 2016 1:42 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata setakat ini masih belum ada sebarang campur tangan asing dalam hal ehwal negara ini.

Katanya, siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) terhadap 1MDB belum dianggap mencampuri urusan negara kerana transaksi pelaburan strategik itu tidak dibuat di negara ini sebaliknya di AS.

“Setakat ini tak ada campur tangan asing terhadap negara kita. Tapi saya katakan siasatan oleh DOJ perlu dilakukan secara adil, saksama dan tidak mempunyai apa-apa motif yang lain.

“AS menyiasat perkara itu kerana ada transaksi berlaku di negara mereka. Jadi setakat ini tidak ada campur tangan negara asing dalam hal ehwal negara kita,” katanya dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia.

Tambahnya, sekiranya transaksi itu dilakukan di Malaysia dan DOJ menyiasat serta mengarahkan negara ini untuk melakukan pelbagai perkara, ia boleh dianggap sudah mencampuri urusan dalaman negara.

“Namun sekiranya transaksi itu tidak berlaku di AS tetapi hanya di Malaysia dan DOJ membuat sidang media mengatakan Malaysia harus buat itu dan ini, itu barulah saya anggap mencampuri urusan dalaman negara kita,” beliau dipetik berkata,

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kewujudan ancaman negara asing terhadap Malaysia.

Anifah berkata mengikut dasar negara, Malaysia turut berpendirian tidak mahu terlibat dengan politik dalaman negara lain.

Bagaimanapun katanya Malaysia sudi untuk memberi pendapat dan pertolongan sekiranya diminta untuk berbuat demikian.

“Kalau sekiranya kita dijemput, kita akan beri buah fikiran dan pertolongan yang sedikit sebanyak boleh membantu menyelesaikan kemelut yang berlaku,” katanya.

Justeru, Anifah menggesa supaya DOJ menjalankan siasatannya dengan adil tanpa mengamalkan diwstandard termasuk tidak mempunyai motif lain.

“Kalau itu mengikut lunas undang-undang dan sistem negara itu, kita akan beri kerjasama seperti yang diminta tetapi mesti melalui saluran yang betul,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS