Paling Popular
Terkini

BN akan mengadakan pilihan raya umum "tidak lama lagi" sebelum Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) anjuran Tun Dr Mahathir Mohamad bertapak, ramal bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam.

"Saya nak beritahu anda yang saya fikir BN akan adakan pilihan raya tidak lama lagi.

"Jika benar, cabaran terbesar bagi mereka yang menentang kerajaan adalah untuk bersama dan menjadi kuasa yang padu," katanya pada sidang media selepas melancarkan buku terbarunya di Kuala Lumpur.

Beliau berkata satu lagi cabaran untuk pembangkang adalah mengenai pengagihan kerusi.

"Mereka mesti menang pilihan raya dan untuk memenangi pilihan raya, mereka mesti (bersetuju) mengenai peruntukan kerusi. Itulah kemuncaknya.

"Mereka mesti mempunyai pendapat yang sama mengenai peruntukan kerusi. Kebanyakan pada masa lalu, ia tidak pernah berhasil," kata bekas timbalan presiden Umno itu.

Musa, bagaimanapun, enggan meneka bilakah tarikh tepat pilihan raya umum akan datang.

Terlalu banyak parti berasaskan Melayu

Selepas menyerahkan borang pendaftaran BERSATU di Pendaftar Pertubuhan hari ini, presiden pro-temnya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu hanya akan menerima anggota bumiputera.

Bagaimanapaun bukan bumiputera boleh menjadi anggota bersekutu dan dilantik ke jawatan dalam parti itu.

Mengulas perkara ini, Musa berkata strategi ini adalah untuk meraih undi Melayu dan menembusi akar Umno.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak pasti sama ada strategi itu akan berjaya kerana terdapat terlalu banyak parti berasaskan Melayu di negara ini.

"Sekarang kamu mempunyai tiga atau empat parti yang cuba untuk mendapatkan undi Melayu. Banyak parti ini akan cuba mengeksploitasi perasaan perkauman. Ini bermakna mereka akan bertanding menentang Umno dan mereka akan membahagikan undi Melayu.

"Secara keseluruhannya, saya harap mereka (BERSATU) akan menjadi gabungan Malaysia yang sebenarnya. Terpulang kepada keupayaan kepimpinan," kata Musa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa beliau menyokong konsep sistem dua parti dan akan gembira melihat pembangkang yang kuat bagi tujuan semak dan imbang.

Kehadiran Muhyiddin pada majlis pelancaran buku itu sebelum ini menimbulkan kehairanan tetapi Musa menafikan bahawa beliau telah menerima jemputan untuk menyertai parti baru.

"Mereka adalah kawan saya. Muhyiddin adalah kawan saya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS