Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat bakal berdepan dengan cabaran perundangan yang besar dalam kes 1MDB, menurut Financial Times.
Antaranya, ujar akhbar kewangan dari United Kingdom itu, pihak pendakwa harus berjuang habis-habisan bagi meyakinkan para saksi untuk memberi keterangan terhadap pegawai-pegawai yang terlibat.
"Memperolehi dokumen luar negara turut melibatkan perjanjian bantuan perundangan bersama yang merupakan proses yang memakan masa.
"Dalam banyak kes termasuk 1MDB, pihak pendakwa berdepan kesukaran membongkar laman web syarikat palsu dan tipu-helah lain yang menutup maklumat pemilikan," jelasnya.
Walau Kendall Day yang mengepalai bahagian pelucutan aset dan pengubahan wang haram DOJ sendiri mengakui ia bukan sesuatu yang mudah.
"Saya boleh memberitahu kamu dari pengalaman peribadi bahawa kes-kes rasuah dari apa jua bidang adalah sesuatu yang sukar," menurut beliau.
Financial Times turut memetik peguam Washington, Jack Blum yang mendedahkan beberapa hakim Amerika enggan mengendalikan kes-kes yang dipercayai sepatutnya dibicarakan di mahkamah asing.
Pada 30 Julai yang lalu, Peguam Negara Amerika Syarikat, Lorretta Lynch mendedahkan DOJ akan memulakan prosiding mahkamah untuk merampas aset yang didakwa diperoleh menggunakan dana 1MDB yang disalah gunakan.
Ia sekali lagi menyeru, Perdana Menteri Najib Razak yang berulang kali menafikan penyalah gunaan wang rakyat dan telah 'dibersihkan' oleh peguam negara Malaysia, untuk meletak jawatan.
Antara lain, aduan mahkamah DOJ menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz dan ahli perniagaan Malaysia, Jho Low yang dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga perdana menteri.
Dokumen itu juga menyebut "Malaysian Official 1" sebanyak 36 kali dan mendakwa bahawa individu berkenaan meraih keuntungan daripada 1MDB.
Pihak pembangkang tempatan menyifatkan pegawai itu tidak lain tidak bukan ialah Najib.
DOJ sukarkan kehidupan kleptokrat
Sementara itu, Presiden Global Financial Integrity, Raymond Baker memberitahu Financial Times bahawa DOJ telah menyukarkan kehidupan kleptokrat.
Pada masa yang sama, beliau berkata, kaedah yang kurang formal telah berjaya dengan lebih cepat.
Pada 2013, sebagai contoh, Tunisia berjaya mendapat semula sejumlah AS$28 juta yang dicuri oleh isteri Zein al- Abidine Ben Ali selaku diktator yang digulingkan dua tahun lebih awal menerusi panggilan telefon.
"Gabenor bank pusat Tunisia dipanggil gabenor bank pusat Lebanon. Mereka melakukannya atas dasar hubungan peribadi. Lebanon melalui beberapa undang-undang kecil gimnastik, perolehi wang dan hantar kembali," kata Baker.