Chow Kon Yeow yang menjadi pilihan Lim Guan Eng untuk menggantikannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang terkejut apabila ditanya "Kenapa mesti ketua menteri Pulau Pinang seorang Cina? Mengapa tidak Melayu atau India?
Sejak Merdeka, terdapat empat ketua menteri Pulau Pinang dan semuanya berketurunan Cina.
Mereka ialah Wong Pow Nee (1957-1969), Lim Chong Eu (1969-1990), Koh Tsu Koon (1990 hingga 2008) dan kini Lim, yang mengambil alih jawatan itu selepas pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008.
"Saya terkejut anda bertanya soalan ini," kata ketua DAP Pulau Pinang, yang juga anggota dewan undangan negeri Padang Kota.
"Saya ingin mengajak para pembaca Malaysiakini melihat sesiapa yang jadi ketua menteri Pulau Pinang, untuk lihat keupayaan beliau sebagai seorang ahli politik, yang mendapat mandat rakyat, bahawa dia berwatak baik dengan keupayaan memerintah, bukan semata-mata daripada masyarakat Cina," Chow berkata dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini.
Beliau juga ditanya sekiranya jawatan ketua menteri itu disebabkan komitmen DAP terhadap akar umbi yang mengundi parti itu, atau mahu mengekalkan peranan DAP sebagai sebuah parti untuk orang Cina di Malaysia.
Ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang bertanggungjawab bagi kerajaan tempatan, lalu lintas dan tebatan banjir itu menjawab bahawa DAP sentiasa bercita-cita untuk menjadi sebuah parti untuk rakyat Malaysia dan mempunyai wakil daripada semua kumpulan etnik.
DAP turut berbangga dengan calon-calon Melayu sejak pilihan raya pertama DAP pada tahun 1969, katanya.
"Sudah tentu angka itu tidak besar, tetapi sejak beberapa tahun, ada ADUN-ADUN di beberapa negeri, seperti seorang ahli parlimen di Pulau Pinang. Tetapi itu diketepikan, ia adalah prinsip parti yang penting, "Chow berkata ketika ditemui di pejabatnya di Komtar.
"Kami tidak berkempen mengikut garis kaum. Rekod kami ada untuk diteliti," katanya.
Chow berkata persepsi bahawa DAP adalah parti sentrik Cina muncul mungkin kerana parti itu kebanyakannya bertanding di kawasan bandar di mana majoritinya adalah kaum Cina dan India.