Badan pemikir di Sarawak dilapor bimbang apabila Petronas menggantikan penduduk tempatan dengan kakitangan dari semenanjung berikutan pemberhentian 13 kakitangan dari negeri itu yang berpengalaman.
Borneo Post hari ini melaporkan Presiden Suarah Petroleum Group (SPG) Hamin Yusuf mengadu mengenai langkah terbaru melibatkan pemansuhan 29 jawatan tetap, yang disifatkan tidak membantu tenaga kerja di negeri ini.
Langkah itu sebahagian daripada penyusunan semula oleh kerajaan negeri seperti didedahkan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali dalam sidang dewan undangan negeri yang lalu.
Beliau berkata mereka yang diberhentikan tidak dipilih semula ke jawatan baru di Petronas Sarawak dan ia menunjukkan syarikat minyak dan gas negara itu "tidak ikhlas" dalam usaha mengembalikan manfaat daripada hasil minyak negeri kepada rakyat.
"Dasar Petronas terhadap negeri ini seolah-olah menggambarkan kurang kepekaan dan realiti dalam pasaran kerja tempatan dan pekerjaan penduduk tempatan.
"Seawal dua bulan lalu, 85 jawatan dalam MLNG Bintulu telah dipenuhi kebanyakannya dari Semenanjung Malaysia atas alasan untuk 'penempatan semula," Borneo Post melaporkan Hamin berkata dalam satu kenyataan malam tadi.