Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu membantu untuk menyampaikan pesanan rakyat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, dalam pertemuan pada 12 Ogos ini.
"Saya ingin berkongsi maklumat yang menarik, saya dijemput untuk sesi minum pertang bersama perdana menteri pada 12 (Ogos).
"Jadi, jika kamu ada pesanan untuk beliau, kamu boleh berjumpa saya selepas ini," katanya semasa rancangan bual bicara Astro Awani, malam semalam.
Tunku Ismail, bagaimanapun, tidak mengulas lanjut mengenai tujuan perjumpaan tersebut.
Semasa rancangan bual bicara 'Obviously Harith Iskandar' itu, Tunku Ismail turut mempertahankan kelantangan beliau demi mengingatkan para pemimpin negara untuk berkhidmat kepada rakyat dengan integriti, dedikasi dan pengabdian.
"Jika itu suatu jenayah, mereka perlu masukkan saya ke dalam penjara kerana saya akan terus lantang," katanya.
"Apa sahaja yang kita suarakan tidak kena-mengena soal peribadi menentang mana-mana individu. Ia sesuatu yang kita perlu peringatkan . Jika di kedudukan saya tidak dapat mengingatkan pemimpin supaya berkhidmat kepada rakyat, apa gunanya saya berada di sini?" tanya Tunku Ismail.
"Saya dibesarkan oleh keluarga terutamanya ayah dan datuk yang sentiasa bersikap jujur dan berterus-terang," kata beliau.
"Kadang-kala kita perlu diplomatik, tetapi saya lebih suka berterus-terang agar mesej dapat disampaikan, jika tidak, orang tidak ambil perhatian serius," ujar beliau.
Pada masa yang sama, beliau turut menyeru keluarga diraja di negara ini untuk memahami dan memainkan peranan mereka untuk bersuara demi rakyat.