Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1MDB 'bertaburan' dalam dokumen DOJ, kata Lim pada Najib
Diterbitkan:  Jul 30, 2016 3:34 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa 1MDB tidak terlibat secara langsung dalam tuntutan mahkamah oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) adalah "mengejutkan" kerana dana tersebut disebut dalam keseluruhan dokumen mahkamah, kata DAP.

"Malah tanpa 1MDB, saman DOJ sebanyak 136 halaman tidak boleh berdiri dengan sendirinya dan akan runtuh.

"'1MDB' adalah bertaburan di seluruh laporan 136 muka surat itu, dan dalam 20 muka surat pertama, terdapat lebih daripada 130 rujukan.

"Maka bagaimanakah Najib boleh mengatakan bahawa 1MDB tidak terlibat secara langsung dalam laporan DOJ itu?" kata pemimpin DAP Lim Kit Siang dalam ucapannya di majlis makan malam di Johor Bahru malam tadi.

Najib yang juga presiden Umno dilaporkan berkata pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Kuala Lumpur bahawa 1MDB tidak mempunyai aset di Amerika Syarikat dan tidak dinamakan secara langsung dalam laporan itu.

"Najib tidak harus memperbodohkan rakyat Malaysia," kata Lim yang juga ahli parlimen Gelang Patah.

Lim berkata Peguam Negara Amerika Syarikat Loretta E Lynch pada sidang media beliau pada 20 Julai juga menyebut mengenai 1MDB.

"[Dia berkata] 1MDB 'berhasrat untuk mengembangkan ekonomi Malaysia dan membantu rakyat Malaysia. Sebaliknya, ia dicuri, 'dicuci' melalui institusi kewangan Amerika dan digunakan untuk memperkayakan pegawai-pegawai dan beberapa sekutu mereka," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS