Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Apandi hairan dengan kritikan terhadapnya
Diterbitkan:  Jul 27, 2016 1:01 PM
Dikemaskini: 5:04 AM

Hari ini menandakan ulang tahun pertama sejak Tan Sri Mohamad Apandi Ali dilantik sebagai peguam negara, menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail yang dilucutkan atas alasan kesihatan.

Sepanjang tahun lalu, perjalanan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, yang menurut pengkritik adalah boneka kerajaan tetapi dinafikan sekeras-kerasnya, bukan sesuatu yang lancar.

Dalam satu ruangan pendapat yang disiarkan dalam Berita Harian hari ini, Apandi berkata beliau hairan berhubung kritikan terhadapnya walaupun menjelaskan semua keputusannya dibuat mengikut undang-undang.

"Apa saja yang saya lakukan adalah mengikut undang-undang negara. Begitupun, masih ada pihak yang sanggup mengemukakan usul tidak percaya terhadap saya di Dewan Rakyat, mendesak saya untuk meletakkan jawatan, malah mengheret saya ke mahkamah.

"Sebagai contoh, apabila Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak memulakan sesuatu prosiding di dalam sesuatu kes tertentu, maka kami akan menjelaskan sebab kami berbuat demikian. Kami akan menerangkan betapa keputusan kami itu diasasakan sepenuhnya kepada bukti yang ada,” tulisnya.

Apandi, 66, berkata ini adalah apa yang mendorong keputusannya pada 26 Januari lalu, adalah beliau berpuas hati bahawa tiada terzahir apa-apa kesalahan di dalam tiga kertas siasatan berprofil tinggi yang dikemukakan kepadanya.

Walaupun dia tidak menyebut kes berkenaan, namun adalah dipercayai bahawa peguam negara merujuk kepada siasatan membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mengenai tindakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan saman tindakan sivil bagi menyita aset berkaitan 1MDB, Apandi berkata beliau dengan segera mengeluarkan kenyataan media bagi menekankan bahawa tiada sebarang pertuduhan jenayah dikemukakan terhadap individu yang terlibat.

"Saya juga menekankan betapa siasatan di peringkat tempatan mengenai perkara ini masih berjalan dan betapa saya tidak akan teragak-agak untuk memulakan prosiding ke atas semua individu yang terlibat dengan perlakuan jenayah sekiranya terdapat bukti mencukupi," katanya.

Sementara itu, Apandi juga mengingatkan organisasi media melaporkan berita dengan cara yang bertanggungjawab kerana apa yang diterbitkan mampu mencorak pemikiran orang ramai.

Sejak kebelakangan ini, katanya, beliau melihat penulisan, pandangan dan laporan yang dibuat secara tidak berhemah dan tidak bertanggungjawab, khususnya di media sosial.

"Sebab itulah, saya sekali lagi mengingatkan semua pihak supaya menjunjung kedaulatan undang-undang," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS