Ahli Jawatankuasa Pusat AMANAH Hu Pang Chow mendakwa pemilik sebuah kedai jam di Kota Bharu, Kelantan menerima saman kerana memaparkan iklan 'seksi' di pusat perniagaannya.
"Dia (pemilik) diberikan saman dan juga tempoh sehingga 1 Ogos untuk menanggalkannya, jika tidak premis perniagaannya akan ditutup selama-lamanya.
"Oleh kerana saya pernah menjadi ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) selama lima tahun, saya tahu sikap mereka (MPKB), mereka tidak akan mengalah.
"Mereka akan terus dengan keputusan dan mendesak pemilik membayar saman atau mereka tidak akan memperbaharui lesen perniagaan," kata Hu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Katanya, beliau telah menasihatkan pemilik untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap majlis perbandaran tetapi tidak pasti sama ada nasihatnya akan diendahkan.
Antara iklan itu adalah poster yang menggambarkan bintang Bollywood Aishwarya Rai berpakaian hitam kekurangan dan menggayakan jam tangan Longines.
Poster lain menunjukkan seorang lelaki dan seorang wanita yang duduk rapat antara satu sama lain dengan wanita itu memakai baju merah tanpa lengan. Kedua-dua mereka memakai jam tangan Guess.
Hu berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemilik tidak lama lagi dan akan menasihatkannya supaya mengambil tindakan undang-undang.
Menurutnya, pihak majlis perbandaran tidak mempunyai kuasa untuk menutup premis perniagaan itu sambil menambah bahawa kuasa mereka terhad sekadar untuk tidak memperbaharui lesen perniagaan, walaupun terpaksa menunggu hingga akhir tahun untuk berbuat demikian.
"Di bawah undang-undang sekarang atau undang-undang majlis tempatan, tidak ada peraturan yang menyatakan kamu tidak boleh meletakkan sebarang poster. Melainkan ia adalah poster bogel, maka itu adalah berbeza.
"Tetapi jika poster ini boleh dipamerkan di seluruh negara, mengapa tidak di Kelantan?" soal Hu.
Hu juga mendakwa bahawa kejadian seumpama itu banyak kali belaku dan beliau sentiasa menasihatkan pemilik untuk mencabar saman berkenaan di mahkamah.
Bagaimanapun, beliau berkata, kebanyakan pemilik perniagaan takut untuk menentang kerajaan negeri.
Beliau mendakwa bahawa atas sebab itu MPKB terus mengeluarkan saman kerana ia tahu pemilik perniagaan tidak akan mencabar tindakannya.