Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Akta 355 PAS haram, tak harus dibentang, kata MPM

Majlis Perundingan Melayu (MPM) beranggapan bahawa rang undang-undang (RUU) persendirian yang akan dibawa anggota Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah tidak sah serta tidak berpelembagaan.

Justeru, kata lembaga penasihat MPM, Tan Sri Abdul Aziz Rahman, RUU itu tidak menjadi keperluan dan tindakan presiden PAS itu sebagai satu pembaziran masa dan tenaga.

Bahkan, menurutnya, parlimen tidak seharusnya membenarkan ia dibentangkan sama sekali.

“Ramai individu dan badan telah memberikan komen mengenainya termasuklah mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid dan Majlis Peguam tetapi mereka hanya menyentuh isu yang berlainan.

“Terdapat tiga undang-undang melibatkan hudud seperti Rang Undang-undang Persedirian persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah, Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah) 1965 (Akta 355) dan Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan),” kata Aziz pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Aziz, ketiga-tiga undang-undang ini adalah tidak sah kerana tidak konsisten atau bercanggah dengan beberapa bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan dan Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Kata Aziz, dalam Fasal 74 Perlembagaan Persekutuan, jadual 9 senarai 1 Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan Islam dan Mahkamah Syariah di bawah jadual 9 serta 8, senarai 4(a) dan (b).

Malah, Aziz berkata Enakmen Jenayah Syariah (II) bercanggah dengan Fasal 7 dan 8 Perlembagaan Persekutuan serta jadual 9 senari 1 I (4) 9h) Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Keseksaan.

“Boleh dihujahkan bahawa Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1965 (Akta 355) diluluskan oleh Parlimen mengikut Fasal 76A(1) Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai di dalam kes ini.

“Ia memandangkan parlimen tidak mempunyai kuasa dalam hal berkaitan Islam sekali gus tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan Mahkamah Syariah,” katanya.

Dihukum lebih sekali

Mengulas lanjut, Aziz berkata undang-undaag yang cuba dilaksanakan di Kelantan itu juga jelas bertentangan dengan perlembagaan.

“Undang-undang hudud yang diluluskan Kelantan termasuk kesalahan di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti membunuh, merogol, mencuri sebab itu saya katakan ia tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan.

“Pesalah tidak boleh dihukum lebih dari sekali dan hanya boleh dihukum sekali sahaja, lebih dari itu tidak sah dan negeri hanya boleh buat undang-undang bagi kesalahan yang tiada dalam perlembagaan,” kata Aziz.

Sehubungan itu, Aziz mempersoalkan apakah Abdul Hadi telah merujuk majlis agama negeri bagi memperjelaskan perkara tersebut.

“Apa saja pindaan yang hendak dibuat perlu melalui majlis agama negeri tetapi apa yang saya difahamkan Majlis Agama sendiri tak maklum akan perkara itu,’ kata Aziz.

Aziz berkata sekiranya pihak yang terlibat masih lagi berminat untuk meneruskannya mereka haris mengkaji perlembagaan persekutuan dan mencadangkan pindaan tersebut sebelum diluluskan.

Bagaimanapun Aziz berkata adalah lebih baik untuk kerajaan terus membatalkan RUU tersebut.

Malah, Aziz berkata beliau tidak teragak-agak untuk membawa perkara berkenaan ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

“Batalkan saja sebab ia tidak sah dan kita tidak teragak-agak untuk bawanya ke mahkamah,” tambah Aziz.

RUU Hadi mengenai Akta 355 itu dibentangkan di Parlimen pada 26 Mei, hari terakhir persidangan, setelah dilangkau dalam dua persidangan sebelumnya.

RUU itu, jika diluluskan di Parlimen, dilihat akan membolehkan Kelantan melaksanakan hudud apabila mahkamah syariah kemudiannya akan dibenarkan untuk mengenakan semua hukuman hudud kecuali hukuman mati.

Pada masa ini, kuasa-kuasa mahkamah syariah terhad kepada menjatuhkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS