Hartawan kelahiran Pulau Pinang Jho Low didakwa telah membeli beberapa aset dengan dana yang didakwa dialihkan dari firma pelaburan negara, 1MDB, dengan menggunakan akaun bank milik bapanya Larry Low dan abangnya Tech Szen, demikian menurut saman sivil yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika.
Dokumen mahkamah itu mendakwa bahawa Jho Low telah beberapa kali menggunakan akaun mereka untuk memindahkan wang bagi pembelian aset.
Wang untuk pembelian itu didakwa pada asalnya dipindahkan dari akaun Good Star ke akaun BSI Abu Dhabi Malaysia Kuwait Investment Corporation (AKDMIC).
Dalam urus niaga yang pertama direkodkan pada 28 Jun 2011, dokumen itu mendakwa AS$55 juta dipindahkan dari Akaun Good Star ke Akaun BSI ADKMIC.
Kemudian pada hari yang sama, kira-kira AS$54.75 juta didakwa dipindahkan dari Akaun BSI ADKMIC ke akaun di Bank BSI atas nama Low Hock Peng atau Larry Low.
Kira-kira AS$30 juta daripada jumlah itu kemudian didakwa dipindahkan dari akaun ke akaun atas nama Selune Ltd di Rothschild Bank AG di Switzerland.
Menurut dokumen mahkamah itu, (Jho) Low didakwa memaklumkan kepada BSI Bank di Singapura bahawa dia adalah pemilik benefisial Selune Ltd.
Menurut dokumen itu, manakala notis yang ditandatangani untuk menjual atau menyewa unit kondominium didakwa mengenal pasti Larry sebagai penghuni, satu notis yang tidak ditandatangani bertarikh 15 Mei 2011, didakwa menyatakan bahawa Jho Low adalah sebenarnya pemilik benefisial muktamad.
Dokumen mahkamah memetik seorang ejen hartanah yang terlibat dalam penjualan penthouse Time Warner dan unit penyimpanan Time Warner yang mengatakan bahawa Jho Low adalah penghuni yang dimaksudkan apartmen itu dan bapanya tidak pernah melihat apartmen itu sebelum pembelian.
Menurut dokumen itu lagi, dalam bahan-bahan yang Jho Low kemukakan kepada entiti yang dia mahu menjalankan perniagaan, termasuk bahan-bahan yang dinyatakan dalam Perenggan 432-434 di bawah, Low didakwa menyatakan bahawa keluarganya adalah sumber penting kekayaannya.
Dengan menyalurkan wang melalui akaun bapanya untuk tempoh masa yang singkat, Low mewujudkan gambaran bahawa dana dalam akaun peribadinya, yang telah digunakan untuk memperolehi kepentingan dalam Park Lane Partnership, datang dari bapanya dan bukan dari Dragon Market, Granton dan Tanore," kata dokumen mahkamah itu.
Pengubahan wang lebih AS$200j
DOJ juga mendakwa bahawa Jho Low melakukan pengubahan wang lebih AS$200 juta dalam dana yang disalahgunakan yang dikesan kepada jualan bon 2013 ke dalam satu akaun di Amerika yang dimiliki oleh firma guaman DLA Piper.
Ia mendakwa Low dan abangnya Low Taek Szen (Szen) menggunakan dana berkenaan untuk memperolehi kepentingan dalam sebuah entiti yang dikenali sebagai 'Symphony CP (Park Lane) LLC' - satu perkongsian liabiliti terhad antara syarikat pembangunan hartanah New York, Witkoff Group dan sebuah entiti pelaburan yang dikawal oleh Low.
Menurut DOJ lagi, pada atau sekitar 25 November, 2013, Park Lane Partnership, melalui anak syarikat milik penuhnya, didakwa memperolehi 36 Central Park South, New York, 10019, yang juga dikenali sebagai Park Lane Hotel, dengan harga kira-kira A$654,316,305," kata dokumen itu.
Harta-harta lain yang didakwa berkaitan dengan dana itu termasuk Oriole Mansion di Beverly Hills, California, yang dibeli dengan harga AS$38.9 juta; serta Greene Condominium di New York dengan harga $AS13.8 juta.
Selain daripada harta berkenaan. saman DOJ juga memperincikan bagaimana Low didakwa telah mengalihkan berjuta-juta dolar dari 1MDB melalui akaun Good Star untuk memperolehi kepentingan dalam EMI Music Publishing, serta untuk membiayai pengeluaran filem 'Wolf of Wall Street' oleh Red Granite Pictures.
Red Granite dimiliki Riza Aziz - anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Rabu lalu, DOJ memfailkan saman sivil untuk merampas aset di Amerika Syarikat yang didakwanya telah dibeli menggunakan dana yang disalahgunakan dari 1MDB.
Ia merancang untuk mengembalikan hasil daripada penjualan aset-aset yang disita kepada Malaysia.
Secara keseluruhan, DOJ mahu merampas 17 aset yang didakwa diperolehi dengan menggunakan dana yang dialihak haram dari 1MDB "untuk faedah peribadi konspirator bersama (dan) sekutu mereka".
Najib semalam menggesa supaya tiada andaian dibuat berkenaan dengan tindakan keras DOJ berkaitan 1MDB.