Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Riza tuai apa disemainya kerana jual diri kepada syaitan'
Diterbitkan:  Jul 22, 2016 11:38 AM
Dikemaskini: 4:42 AM

Anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz menuai apa yang disemainya kerana 'menjual diri kepada syaitan', tulis adiknya di Facebook.

Riza yang dinamakan dalam saman Jabatan Keadilan Amerika Syarikat kerana didakwa menggunakan wang yang dicuri daripada firma pelaburan negara, 1MDB.

"Jika Riza menjual dirinya kepada syaitan untuk memiliki apa yang tidak sepatutnya miliknya, bayangkan hutangnya yang dikumpul bersama syaitan dan yang bakal mereka kumpul lagi itu,” tulis Azrene Soraya Abdul Aziz, seorang perunding imej.

Seperti Riza, Azrene adalah anak tiri Najib, yang lahir hasil perkahwinan pertama, isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dengan suami pertamanya.

Bagaimanapun beliau berkata, Riza masih dan adalah seorang yang dikasihi oleh keluarganya, walaupun kasih mereka 'tidak cukup untuk beliau' dan orang sekelilingnya.

"Dia memilih, seperti orang lain sebelumnya, untuk memiliki kemasyhuran, kekayaan dan sanjungan," katanya.

Azrene mendakwa abangnya kini membayar harga kerana dosa yang dilakukannya walaupun Malaysia tidak bersedia untuk memberi keadilan seperti didoakan rakyat tetapi Amerika Syarikat memberikannya.

"Mereka yang mengenali saya tahu bahawa saya kambing hitam keluarga - tetapi itu tidak bermakna saya tidak sayang keluarga saya.

"Orang ramai boleh mengatakan saya kejam untuk apa yang saya tulis hari ini tetapi saya sentiasa menegakkan apa yang sepatutnya dan melakukan apa yang betul, demi kebenaran dan keadilan walaupun terpaksa membayar harga yang tinggi dan ini bermakna melakukan perkara yang tidak popular.

"Saya sering menegaskan bahawa jika Riza menggunakan dan mendapat keuntungan daripada dana yang dicuri dia perlu membayar apa yang dilakukannya itu.

"Jika dia berdiri sebagai proksi atau sebagai pemegang amanah untuk apa yang bukan miliknya atau mana-mana individu yang meminta beliau menjadi 'anak berbakti', dia perlu membayar untuk itu," katanya.

Tidak kira apa alasan yang diberikan untuk mewajarkan apa yang dilakukan oleh abangnya, Azrene berkata jika tindakannya itu menjejaskan negara dan rakyat maka ia adalah salah, dan perlu diperbetulkan.

"Bagi mereka yang fikir saya tidak berhati perut hari ini, sila ingat, doa saya adalah untuk kebenaran dan keadilan. Sama seperti rakyat Malaysia yang lain, telah dijawab hari ini dan akan terus dijawab," tulis perunding imej itu.

[Berita penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS