Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan supaya rakyat negara ini mengadakan perhimpunan aman untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Rakyat negara ini penakut. Di negara-negara lain, jutaan akan turun ke jalanan. Rakyat Malaysia ini, baik-baik, kita biasanya tidak berbuat apa-apa (tunjuk perasaan).
"Saya rasa kita perlu adakan satu perhimpunan aman untuk menuntut penyingkirannya (perdana menteri)," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Bekas Pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan, yang turut hadir, kemudian menambah bahawa badan pemantau pilihan raya sedang mempertimbangkan cadangan berkenaan.
Mahathir membuat cadangan berkenaan berikutan pertuduhan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk merampas aset yang didakwa diperoleh melalui dana 1MDB.
"Ia sedang dipertimbangkan. BERSIH sedang mempertimbangkan sama ada perlu ada perhimpunan," katanya.
DOJ menyebut berulang-kali individu yang dirujuk sebagai 'Malaysian Official 1' dalam saman mereka, menyebabkan banyak spekulasi mengenai identiti tokoh berkenaan.
Walaupun Najib tidak dinamakan dalam saman itu, terdapat banyak spekulasi bahawa 'Malaysian Official 1' merujuk kepadanya dan Ambiga berkata beliau sanggup menjejaskan reputasinya dengan mempertaruhkan bahawa Najib adalah individu berkenaan.
"Tak perlu seorang saintis roket untuk mencari jawapannya. Dia pasti adalah perdana menteri. Saya sedia menjejaskan reputasi saya berhubung (perkara) itu.
"Saya fikir adalah amat jelas siapa ('Malaysian Official 1') itu. Saya tidak fikir ada sesiapa yang akan menafikan bahawa ia adalah perdana menteri," katanya.
Mahathir juga mencadangkan supaya referendum atau pungutan suara diadakan untuk mendesak Najib meletakkan jawatan tetapi berkata ia harus dipelopori oleh rakyat.
Ambiga berkata beliau menyokong idea itu, selagi ia tidak dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.