Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Walaupun DAP dan PKR hari ini dilihat menyambut baik tawaran 'gencatan senjata' oleh PAS, rakan sekutunya dari Parti Amanah Negara (AMANAH) mahu parti itu berbincang terlebih dahulu di peringkat kepimpinan.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata perkara itu penting supaya PAS lebih istiqamah dalam menentang Umno serta tidak membuat 'pusingan U'.

“Kami sentiasa bersatu menentang BN. Tapi PAS sendiri yang sebaliknya.

“Saya mencadangkan PAS mengadakan mesyuarat di kalangan pucuk pimpinan dan membuat keputusan (untuk gencatan senjata) supaya selepas ini mereka konsisten dan istiqamah,” katanya kepada Malaysiakini.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menyeru “gencatan senjata” sesama pembangkang, sebaliknya menggembleng tenaga bersama dalam menumbangkan BN.

Katanya, PAS dan parti-parti dalam Pakatan Harapan – DAP, PKR dan AMANAH – perlu bertolak ansur dan mencari titik persamaan tanpa membelakangkan dasar masing-masing.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah berkata pihaknya sedia membuat rundingan baru dengan PAS bagi menjernihkan hubungan sesama pembangkang dalam menjatuhkan 'musuh yang sebenar'.

Katanya HARAPAN sendiri sentiasa terbuka untuk berbincang kerana perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat presiden sebelum ini.

“Kita sentiasa bersedia memulakan siri rundingan baru. Pakatan Harapan terbuka buat rundingan dengan PAS, PSM, Tan Sri Muhyiddin (Yassin), kita semua sentiasa terbuka," katanya.

Perjumpaan tertutup dengan PAS

Setuju dengan saranan Tuan Ibrahim, Saifuddin berkata perjumpaan secara tertutup dengan PAS akan dilakukan bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Biasa perkara ini kita tak buat secara terbuka dan Tuan Ibrahim tahu siapa yang pergi untuk berunding.

“Kita dah tahu siapa dan tak perlu umum. Saya sudah tahu siapa yang perlu dihubungi dan kami sama-sama tahu," katanya.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke turut menyambut positif  cadangan tersebut. 

Katanya, parti Islam itu sedar perpecahan dalam pembangkang hanya akan memberi manfaat kepada BN.

“Saya belum lagi melihat kenyataan itu secara langsung tapi kita ambil ia secara positif. Mungkin PAS sedar bahawa perpecahan di kalangan pembangkang hanya akan memberi manfaat kepada Umno.

“Mereka melihat bahawa pertandingan tiga penjuru di Sungai Besar dan Kuala Kangsar memberi manfaat kepada Umno,” katanya.

Loke berkata, pihaknya akan berbincang mengenai perkembangan itu dalam HARAPAN itu dan akan melihat tindakan selanjutnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS